Ura-ura lanjut kontrak Azam, kumpulan pelajar bantah

Ura-ura lanjut kontrak Azam, kumpulan pelajar bantah

Suara Mahasiswa UMS kata ura-ura itu bercanggah dengan reformasi yang dijanjikan Pakatan Harapan.

azam baki
Sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata belum ada keputusan mengenai khidmat Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, yang akan tamat pada Mei. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu kumpulan pelajar yang berpangkalan di Sabah suarakan bantahan susulan dakwaan kontrak Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilanjutkan.

Suara Mahasiswa UMS merujuk kepada laporan Bloomberg, yang sebelum ini memetik sumber mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka meluluskan pelanjutan khidmat Azam, berkemungkinan untuk selama enam bulan.

Kumpulan itu berkata ura-ura tersebut bercanggah dengan reformasi institusi yang dijanjikan Pakatan Harapan, blok terbesar dalam kerajaan.

“Pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM seharusnya melalui proses penilaian, pemilihan yang bebas dan telus, disemak dan dibahaskan di Parlimen,” menurut kenyataan.

Katanya, kerajaan perlu tunaikan strategi yang terkandung dalam dokumen Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028, yang ingin meneliti semula persyaratan dalam pelantikan dan pemecatan ketua pesuruhjaya serta penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM.

Azam menggalas jawatan ketua pesuruhjaya sejak Mac 2022. Kontrak beliau dilanjutkan selama setahun pada 10 Mei 2023 dan untuk setahun lagi pada tahun berikutnya.

Pada 4 Apr, ditanya pemberita berhubung laporan Bloomberg itu, Anwar berkata belum ada keputusan mengenai khidmat Azam, yang akan tamat pada penghujung Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.