
Menurutnya, dia membuat prosedur itu ketika mengambil keputusan bersara awal bagi menyertai saingan tiga penjuru berkenaan.
Bekas pensyarah di Institut Pendidikan Guru itu berkata, ada beberapa prosedur perlu dipatuhi sebelum dibenarkan bersara awal termasuk mengisytihar harta dan semakan rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya sudah isytihar harta sebelum bersara lagi dan ini memang kewajipan yang perlu dipatuhi jika mahu bersara awal. Saya diminta berbuat demikian menerusi sistem sedia ada.
“Ada prosedur perlu dipatuhi dan mesti bersih daripada rekod SPRM. Proses sedemikian sudahpun ditetapkan kerajaan bagi membolehkan kita bersara,” katanya, menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan calon PSM KS Bawani yang mahu semua calon PRK Ayer Kuning mengisytiharkan harta masing-masing.
Dalam pada itu, Yusri berkata kekuatan jentera bagi mendekati pengundi sudah digerakkan pada tahap maksimum, ketika tempoh kempen hanya berbaki empat hari.
Katanya, beliau juga mahu memanfaatkan tempoh yang ada bagi memperjelas perincian manifesto dilancarkan, semalam.
“Kita akan memberi penjelasan lebih baik kepada pengundi secara menyeluruh. Ini (manifesto) adalah tekad serta wartawan yang kita berikan kepada warga Ayer Kuning, jika diberikan mandat.
“Setakat ini, alhamdulillah tahap penerimaan sangat baik. Saya harap momentum akan terus konsisten dan diterjemahkan dalam undi Sabtu ini,” katanya.