Polis tahan guru disyaki buat gangguan seksual pada pelajar

Polis tahan guru disyaki buat gangguan seksual pada pelajar

Guru lelaki itu ditahan pada Sabtu lalu selepas polis menerima dua aduan daripada mangsa.

Pihak sekolah menghentikan tugas guru itu serta-merta dan melarang suspek daripada memasuki kawasan sekolah sehingga siasatan selesai sepenuhnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) di Alor Setar susulan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap beberapa pelajar perempuan di sekolah tersebut.

Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah Ng Kok Weng berkata pada polis memaklumkan guru itu ditahan pada Sabtu lalu, lapor Bernama.

“Guru berusia 34 tahun itu ditahan selepas polis menerima dua aduan, masing-masing daripada seorang pelajar dan seorang bekas pelajar berhubung gangguan seksual yang berlaku.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada polis, pihak sekolah mengadakan mesyuarat semalam dan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani perkara ini,” katanya pada sidang media.

Katanya, mesyuarat itu memutuskan untuk menghentikan tugas guru itu serta-merta dan melarangnya daripada memasuki kawasan sekolah sehingga siasatan selesai sepenuhnya.

Menurutnya, pihak sekolah turut memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan menyerahkan beberapa dokumen serta maklumat berkaitan bagi membantu siasatan.

Guru terbabit dilaporkan telah berkhidmat di sekolah berkenaan sejak 2016.

Beliau berkata pihaknya juga telah melaporkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan segala tindakan yang diambil adalah bertujuan menjaga kebajikan serta kesihatan mental, fizikal dan privasi pelajar yang terlibat.

“Sesi kaunseling turut disediakan kepada pelajar terlibat. Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, taklimat menyeluruh telah diberikan kepada semua pelajar dan guru mengenai insiden ini, selain penyediaan saluran aduan bagi memudahkan sebarang salah laku dilaporkan,” katanya.

Menurut Bernama lagi, Ketua Polis Kota Setar, Siti Nor Salawati Saad, telah dihubungi bagi mengulas mengenai perkara itu, namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.