Kerajaan Perak tak lulus ladang babi baharu di kawasan majoriti Islam

Kerajaan Perak tak lulus ladang babi baharu di kawasan majoriti Islam

Exco Perak kata sebahagian besar ladang yang wujud hari ini warisan operasi sejak beberapa dekad lepas.

Exco A Sivanesan kata kenyataan terdapatnya ladang ternakan haram di Perak secara berleluasa adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab.
IPOH:
Kerajaan Perak tidak meluluskan sebarang pembukaan ladang babi baharu di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan majoriti penduduk Islam.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional A Sivanesan berkata sebahagian besar ladang-ladang yang wujud pada hari ini adalah warisan operasi sejak beberapa dekad lepas.

Beliau berkata ladang-ladang berkenaan terletak di atas tanah milik persendirian serta beroperasi sebelum pewartaan garis panduan atau dasar penternakan moden diperkenalkan.

“Sebagai pengerusi Jawantankuasa Penstrukturan Semula Ladang-Ladang Khinzir di Perak, saya dengan kerjasama erat daripada Jabatan Veterinar, Jabatan Kesihatan, Majlis Daerah, Pejabat Tanah Daerah dan rakan strategik yang lain telah bertindak dengan lebih agresif.

“Data terkini menunjukkan kejayaan ketara pengurangan ladang khinzir daripada 115 pada hujung tahun 2022 kepada 85 buah pada masa kini.

“Sebanyak 30 ladang khinzir telah ditutup di Perak hasil penguatkuasaan undang-undang, wabak penyakit yang melanda babi domestik, isu berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah. 30 ladang ini telah ditutup sepenuhnya dan tidak lagi dibenarkan beroperasi semula tanpa kompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan titah diraja di DUN Perak.

Sivanesan berkata kenyataan terdapatnya ladang ternakan haram di Perak secara berleluasa adalah tidak benar sama sekali dan sangat tidak bertanggungjawab, kerana semua 85 ladang yang sedang beroperasi di Perak mempunyai lesen penternakan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang dan penambahbaikan kawal selia, kerajaan negeri melalui JPV dan pihak berkuasa tempatan sedang melaksanakan proses pemutihan dan penstrukturan semula ladang babi.

“Termasuk di daerah Batang Padang yang meliputi kawasan DUN Ayer Kuning, termasuk pengesahan status operasi lesen, penetapan semula lokasi mengikut zon yang dibenarkan serta pematuhan kepada Modern Pig Farm,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad mendakwa terdapat 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah berkenaan, dengan jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana terdapat ladang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.