Kadar kejayaan rawatan batuk kering di Selangor meningkat, kata exco

Kadar kejayaan rawatan batuk kering di Selangor meningkat, kata exco

Jamaliah Jamaluddin berkata kadar kejayaan rawatan meningkat daripada 80% pada 2020 kepada 88% pada 2024.

Jamaliah Jamaluddin merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia dan Persidangan Tibi 2025 Selangor. (Gambar Exco Kesihatan Awam Selangor)
PETALING JAYA:
Insentif Rawatan Tibi sebanyak RM800 kerajaan Selangor menjadi antara faktor membantu meningkatkan kejayaan rawatan penyakit Tuberkulosis atau batuk kering dalam tempoh empat tahun sehingga 2024.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif diperkenal lima tahun lalu itu telah membantu pesakit terutama dari B40 mendapat rawatan sehingga sembuh sepenuhnya.

Menurutnya, langkah itu diperkukuh menerusi kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia (MAPTB) yang merangka pelbagai strategi seperti pengesanan awal, penyediaan rawatan berkualiti dan pendidikan awam berterusan.

“Antara inisiatif utama termasuk melabur dalam teknologi kesihatan seperti penggunaan ultra portable X-ray berteknologi tinggi disokong kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketepatan dan kepantasan diagnosis tibi.

“Kerjasama antara kerajaan negeri, JKNS dan MAPTB telah membuahkan hasil apabila kadar kejayaan rawatan meningkat daripada 80% pada 2020 kepada 88% pada 2024,” katanya merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia dan Persidangan Tibi 2025 Selangor.

Jamaliah berkata statistik menujukkan Malaysia pada tahun lalu merekodkan 26,183 kes tibi dengan Selangor menyumbang kira-kira 20% atau 5,337 kes.

“Kadar insiden penyakit ini juga meningkat pada purata 2.5% setiap tahun sejak 2020, menjadikan keperluan kepada intervensi berterusan dan menyeluruh semakin mendesak,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, profesional kesihatan dan komuniti untuk terus bersatu memerangi penyakit itu secara holistik dan bersepadu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.