Jangan gopoh, tunggu penjelasan mufti berkait haji musim pilihan raya

Jangan gopoh, tunggu penjelasan mufti berkait haji musim pilihan raya

Menteri Agama Na'im Mokhtar berkata sebarang pandangan hukum harus merujuk pihak berautoriti seperti mufti kerana perlu penelitian mendalam.

Mohd Naim Mokhtar
Na’im Mokhtar berkata semua pihak perlu jaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semua pihak diingatkan tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan peribadi hukum menunaikan ibadah haji semasa musim pilihan raya berbanding tanggungjawab mengundi.

Pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, menyusul susulan kenyataan Presiden PAS Hadi Awang bahawa ‘kemenangan politik’ bagi Islam patut diutamakan, berbanding menunaikan haji atau umrah dalam kempen PRK Ayer Kuning, Sabtu lalu.

Tanpa menyebut nama mana-mana individu, Na’im berkata sebarang pandangan hukum harus merujuk pihak berautoriti seperti mufti kerana memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu tinggi.

Menurutnya, semua perlu menjaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan boleh mengganggu keharmonian apatah lagi membabitkan ibadah dalam rukun Islam serta proses demokrasi penting bagi negara.

“Saya menyeru semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada pihak mufti serta institusi berwibawa memberikan pandangan dan penjelasan berdasarkan hukum syarak serta konteks semasa.

“Marilah kita mengutamakan ilmu dan adab dalam membincangkan isu-isu agama, serta sentiasa merujuk kepada saluran betul demi menjaga kesucian Islam dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan Hadi berkata, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan kerana ‘Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin’.

Menurut Hadi, umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan itu, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

PRK Ayer Kuning akan berlangsung pada 26 April manakala kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijangka berlepas ke Tanah Suci, tiga hari selepas itu.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan wakil Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Mohamad Yusri Bakir daripada Barisan Nasional (BN), manakala KS Bawani membawa cabaran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.