100 CCTV banteras warga asing kerja gerai bawah MBDK

100 CCTV banteras warga asing kerja gerai bawah MBDK

Datuk Bandar MBDK Abd Hamid Hussain berkata pihaknya mahu pekerja tempatan diutamakan.

Bermula 1 Jun, pekerja asing termasuk pemastautin tetap dilarang kerja di premis kendalian MBDK itu di Klang.
KLANG:
Lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) beroperasi di daerah ini akan dimanfaat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memantau gerai dan kios di bawah kendaliannya, susulan larangan pengambilan pekerja asing termasuk pemastautin tetap berkuat kuasa 1 Jun ini.

Datuk Bandar MBDK Abd Hamid Hussain, berkata CCTV yang asasnya dipasang bagi memantau aktiviti pembuangan sampah haram itu akan diperluas penggunaannya bagi mengumpul data dan maklumat pihak yang ingkar larangan.

“Kita sasarkan sifar pengambilan dan pekerja asing bekerja di premis bawah kendalian majlis mulai 1 Jun ini, ia menjadi antara usaha mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Setakat ini, MBDK mempunyai lebih 100 buah CCTV di seluruh Klang dan sebagai usaha serampang dua mata, kemudahan sama akan digunakan bagi memantau kawasan premis atau kiosk yang ingkar larangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Brainstorming Wake Up & Make Up Klang.

Bengkel berkenaan dianjurkan sebagai menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang pada 5 Dis tahun lepas yang menzahirkan rasa kesal dan dukacita dengan tahap kebersihan di bandar raya itu.

Abd Hamid berkata, maklumat serta data dari pemantauan CCTV itu akan digunakan MBDK untuk ‘turun padang’ bersama-sama imigresen mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak tidak patuh larangan.

“Penguatkuasaan dan pemantauan turun padang sentiasa dijalankan menjelang 1 Jun, contohnya MBDK baru-baru ini telah menutup, menyita, dan menarik hak sewaan terhadap penyewa premis yang menggajikan pekerja warga India.

“Ini menunjukkan MBDK serius dalam menangani isi ini dan tidak akan berkompromi serta bertegas khususnya selepas tarikh pewartaan larangan berkuat kuasa tidak lama lagi,” katanya.

Pada 19 April, MBDK mengeluarkan notis larangan pengambilan pekerja asing termasuk pemastautin tetap sebagai pembantu di semua gerai dan kios di bawah pengurusannya mulai 1 Jun 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.