PRK Ayer Kuning: Bawani cabar calon BN, PN isytihar harta

PRK Ayer Kuning: Bawani cabar calon BN, PN isytihar harta

Calon PSM isytihar dalam akuan berkanun mempunyai aset bersih RM21,248.

Calon PSM, Bawani KS berkata rakyat ingin tahu sama ada pemilikan harta Adun Ayer Kuning kelak meningkat atau tidak selepas dipilih.
PETALING JAYA:
Calon PSM Bawani KS mencabar dua lagi calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan harta, pada kempen PRK Ayer Kuning.

Bawani berkata, setakat 15 Apr jumlah aset bersihnya dianggar RM21,248, yang dipecahkan kepada tiga kategori iaitu harta, pendapatan, dan perbelanjaan serta hutang.

“Kita nak tonjolkan yang kita tidak mahu wakil rakyat korup. Bagaimana individu yang sebelum jadi wakil rakyat hanya guna satu kereta, kemudian tiba-tiba guna kereta mewah.

“Itulah pentingnya PSM isytihar harta setiap tahun. Justeru, saya cabar calon BN, Yusri Bakir dan calon PN, Abd Muhaimin Malek berbuat perkara sama,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang media di pekarangan pasar pagi bersebelahan Masjid Jamek Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tapah.

Beliau berkata, relevan cabaran itu dikemukakan agar rakyat mengetahui sama ada pemilikan harta Adun Ayer Kuning meningkat atau tidak selepas dipilih.

Bawani, 39, dalam akuan berkanun memaklumkan mempunyai sebuah kereta Perodua Bezza bernilai RM27,000 dan telefon pintar Honor X9B RM1,499 berjumlah RM28,499.

“Untuk pendapatan dan perbelanjaan, wang tunai di tangan saya ada RM583, manakala wang simpanan keseluruhan dalam beberapa akaun bank sebanyak RM20,638.”

Katanya, beliau mempunyai hutang pinjaman kereta RM13,139 dan pinjaman pendidikan RM14,750.

“Tolak tambah jumlah bersih dianggarkan sebanyak RM21,248,” katanya yang juga peguam dengan pendapatan bulanan RM5,000.

Hari pengundian PRK Ayer Kuning akan berlangsung pada 26 April, manakala undi awal akan diadakan 22 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.