Perluas Jualan Rahmah, sedia geran khas niaga antara manifesto BN

Perluas Jualan Rahmah, sedia geran khas niaga antara manifesto BN

Pusat Khidmat Rakyat juga akan beroperasi lebih lama, termasuk dibuka hujung minggu untuk selesai masalah rakyat.

Mohamad Yusri Bakir
Calon BN Mohamad Yusri Bakir kemuka tujuh tawaran dalam manifesto menjelang PRK Ayer Kuning. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Yusri Bakir mengemukakan tujuh tawaran dalam manifesto untuk penduduk menjelang PRK Ayer Kuning, 26 April ini.

Beliau berkata, ia merangkumi ekonomi tempatan yang makmur, meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat, pembangunan infrastruktur setempat serta agenda anak muda dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu, beliau turut memfokuskan terhadap warga emas, wanita, dan Orang Asli, pendidikan berkualiti untuk anak jati Ayer Kuning.

“Menerusi tawaran ekonomi tempatan yang makmur, ia meliputi penyediaan geran khas untuk usahawan kecil, petani, pekebun kecil dan penjaja; memperluas akses pasaran bagi hasil tani dan produk kampung dan memperkasakan keusahawanan melalui bimbingan dan e-dagang,” katanya menurut Bernama ketika mengumumkan manifesto itu di Command Centre BN, di Tapah.

Yusri berkata, bagi meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat adalah dengan memperluas program kedai bergerak dan Jualan Rahmah serta memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan dalam program kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, pendidikan berkualiti turut menjadi perhatian utama dalam manifestonya dengan memperjuangkan usaha naik taraf kemudahan sekolah rendah, menengah, dan prasekolah serta menyediakan sokongan pendidikan dan kelas motivasi untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Saya juga akan membuka Pusat Khidmat Rakyat dengan waktu operasi lebih lama, termasuk pada hujung minggu dan turut menjalankan lawatan berkala ke kampung dan taman untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat secara langsung,” katanya.

Manifesto bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ itu cetusan harapan masyarakat setempat hasil daripada mendengar sendiri luahan dan aspirasi dizahirkan penduduk Ayer Kuning, kemudian disusun teliti berdasarkan pengamatan di lapangan.

Beliau berkata, tiga tekad menjadi asas kepada keseluruhan usaha yang akan dilakukan iaitu menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, menolak sentimen perkauman dan politik kebencian yang boleh memecahbelahkan rakyat dan menghubungkan inisiatif sosioekonomi di kawasan itu selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.