Teruskan dasar papar harga ubat mulai 1 Mei, gesa 2 NGO

Teruskan dasar papar harga ubat mulai 1 Mei, gesa 2 NGO

Rural Malaysia dan MACFEA berkata langkah memaparkan harga ubat di klinik dan hospital swasta untuk jamin hak pengguna.

Hospital Pharmacy
Sebelum ini timbul pertikaian mengenai langkah mewajibkan pemaparan harga ubat di klinik dan hospital swasta. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Dua pertubuhan pengguna mahu Putrajaya meneruskan langkah memaparkan harga ubat di hospital dan klinik swasta mulai 1 Mei depan di sebalik ada pihak mempersoalkannya.

Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) serta Rural Malaysia senada pengenalan peraturan dikawal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu supaya hak pengguna sentiasa terjamin.

Setiausaha Agung Rural Malaysia Anuar Mahmod berkata laporan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2017,2020 dan 2022 mendedahkan harga ubat-ubatan di sektor swasta tidak terkawal dan sering ditokok secara berlebihan.

“Klinik swasta menjual ubat hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding farmasi komuniti yang lebih telus dengan memaparkan harga.

“Rakyat perlu tahu harga sebenar dan dimaklumkan pilihan ubat lebih murah tetapi setara dari segi keberkesanan (di klinik dan hospital swasta),” katanya kepada FMT.

Exco MACFEA Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali pula berkata langkah memaparkan harga ubat di hospital dan klinik swasta boleh membantu pengguna merancang perbelanjaan apabila mempunyai panduan untuk membandingkan harga.

“MACFEA sokong usaha ini dan menyeru semua pihak berkepentingan melihat dasar ini dari perspektif kepentingan rakyat, bukan kepentingan kelompok tertentu semata-mata,” katanya.

Semalam, Menteri KPDN Armizan Mohd Ali membidas sebuah persatuan doktor swasta yang mempersoalkan rasional tindakan kementeriannya mewajibkan paparan harga ubat di klinik perubatan am.

Beliau menggesa Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) mengemukakan alasan kukuh yang membolehkan pengecualian dibuat terhadap produk ubat-ubatan.

Rabu lalu, FPMPAM mempersoalkan rasional membenarkan KPDN mewajibkan paparan harga ubat di klinik perubatan am, yang pada dasarnya dikawal selia Kementerian Kesihatan (KKM).

Presiden Dr Shanmuganathan TV Ganeson menegur KKM kerana berdiam diri mengenai perkara itu kerana tarikh akhir penguatkuasaan dasar iaitu 1 Mei semakin hampir.

Beliau turut menyifatkan berlaku pertindihan kuasa antara kedua-dua kementerian terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.