
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka berkata kerajaan boleh menggunakan pendekatan yang lebih signifikan.
Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu, berkata sebarang taklimat akan menjadi satu bentuk pendidikan pencegahan kerana ia akan mewujudkan pemahaman yang seragam, dalam kes ini, protokol mengenai penggunaan dan kepentingan Jalur Gemilang.
“Walaupun taklimat berguna, adalah lebih kritikal bagi kerajaan untuk mengambil kedudukan progresif dan menghentikan tindakan undang-undang yang melampaui batas terhadap organisasi media dan kakitangannya,” katanya kepada FMT.
Pengarah Geramm Radzi Razak pula mengalu-alukan langkah itu namun berkata adalah lebih baik untuk menggalakkan latihan editorial berterusan, pemeriksaan dalaman dan ruang untuk akauntabiliti tanpa rasa takut terhadap kriminalisasi atau ugutan.
Mereka turut menggesa penubuhan Majlis Media Malaysia disegerakan.
Wathshlah berkata adalah lebih penting untuk mempercepatkan penubuhan MMC dan meminta badan itu mewujudkan mekanisme aduan yang diperlukan dan membangunkan garis panduan etika mengenai isu-isu yang berbangkit.
Radzi berkata majlis itu boleh menjadi platform untuk amalan terbaik, wacana etika, dan resolusi membina antara media, kerajaan dan orang ramai.
“Memperkasakan badan ini akan menjadi lebih mampan daripada taklimat ad hoc,” katanya ketika dihubungi.
Dua aktivis itu kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kelmarin bahawa kementeriannya akan mengadakan taklimat susulan kesilapan Sin Chew menyiarkan ilustrasi Jlaur Gemilang tanpa anak bulan.
Ia membawa kepada siasatan polis dan teguran oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang berkata kesilapan itu tidak boleh diterima dan saluran berita sepatutnya lebih berhati-hati.
Kontroversi itu menyebabkan Ketua Editor Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Penyunting Tsai Shwu San digantung tugas.
Wathshlah berkata adalah penting bagi kerajaan untuk membentangkan naratif yang akan mendidik orang ramai dan ‘mendiamkan ahli politik yang berdendam’, mengakui bahawa walaupun kesilapan telah dibuat, Sin Chew telah meminta maaf dan mengambil langkah korektif.
Radzi berkata sebarang penyiasatan atau respons hendaklah berkadar, telus dan bukan menghukum.
“Kesilapan, terutamanya yang bersifat editorial dan tidak berniat jahat, harus didekati melalui dialog terbuka, dan bukan melalui penangkapan atau tindakan yang berlebihan.”
Low Boon Tat, naib presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan, berkata kerajaan dan media harus duduk bersama bagi membincangkan penyelesaian.
Beliau berkata kesilapan akhbar terbabit turut memperlihatkan beberapa ahli politik cuba menggunakan isu itu walaupun permohonan maaf secara terbuka telah dibuat.
“Kami berharap ada penyelesaian menang-menang.”