Sidang media khas perjelas isu Kampung Sungai Baru minggu depan

Sidang media khas perjelas isu Kampung Sungai Baru minggu depan

Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani berkata, beliau akan jelas 'betul-betul' perkara itu kepada pihak terkesan pada sidang media.

JOHARI ABDUL GHANI
Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani berkata, penduduk Kampung Sungai Baru dan NGO turut akan diundang hadir sidang media minggu depan.
KUALA LUMPUR:
Susulan isu Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang kembali hangat diperkatakan, Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani akan mengadakan sidang media khas minggu depan bagi menjelaskan perkara itu.

Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, pihak yang berkaitan iaitu penduduk kampung dan NGO akan turut diundang menghadiri sidang media itu.

“Saya akan adakan satu sidang media khas supaya semua orang faham, NGO yang datang ke sini, sebenarnya mereka tidak faham. Jadi saya akan jelaskan betul-betul supaya kedua-dua pihak faham.

“… Saya nak jelaskan daripada mula sampai akhir,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi Parlimen Titiwangsa di Kampung Baru.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan.

Pada Disember lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan mahupun desakan.

Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.