
Bercakap kepada FMT, perunding kanan Samirul Ariff Othman menjelaskan gabungan cabaran tempatan dan antarabangsa mendorong keputusan ConocoPhilips baru-baru ini untuk keluar daripada projek Salam-Patawali.
Pengunduran syarikat minyak gergasi dari AS itu daripada projek Salam-Patawali, 15 April lalu, berlaku beberapa bulan selepas syarikat minyak dan gas asing lain, PTTEP dari Thailand, menangguhkan projek gas Lang Lebah sehingga 2026.
Pemerhati industri menyatakan ketidaktentuan peraturan berterusan akibat penyelesaian belum selesai antara Petronas dan Petros menjadi punca utama kelewatan dua tahun itu, menurut laporan Scoop.
“Walaupun setiap projek mempunyai cabaran tersendiri, pembatalan berturut-turut itu menunjukkan kemungkinan munculnya satu trend baru dipengaruhi tekanan ekonomi dan ketidaktentuan peraturan,” kata Samirul dari Global Asia Consulting.
Perang perdagangan berterusan antara Amerika Syarikat dan beberapa negara lain pada tahun ini turut mencetuskan risiko ekonomi lain, termasuk kebimbangan terhadap inflasi dan kemelesetan serta kejatuhan harga minyak.
“Harga tenaga global tidak menentu dan ketidaktentuan ekonomi boleh mempengaruhi keputusan pelaburan dalam projek O&G berskala besar.
“Gabungan kos meningkat, ketidakstabilan pasaran global dan pertikaian tempatan belum diselesaikan mungkin menyebabkan pelabur lain menilai semula komitmen di rantau ini.”
Jamil Ghani, bekas penganalisis di Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) memberitahu FMT kejelasan peraturan amat penting bagi menstabilkan persekitaran perniagaan Malaysia.
“Ketidaktentuan peraturan terutama peranan Petros sebagai pengumpul gas dilantik negeri boleh menambah kebimbangan pelabur.
“Walaupun Petronas mengesahkan perbincangan dengan Petros sedang berlangsung, kekaburan berkenaan susunan orang tengah atau perantara menjejaskan keyakinan pelabur pada waktu negara memerlukan perpaduan nasional,” kata Jamil.
Beliau merujuk pendirian kerajaan persekutuan bahawa kontrak Petronas tidak akan diubah dan tiada perantara terlibat.
Dalam persekitaran global mencabar, Jamil menekankan Malaysia tidak mampu menanggung persepsi perpecahan dalaman—terutama sekali dalam sektor tenaga strategiknya.
“Jika Petronas mahu terus menjadi benteng kestabilan negara, kesepaduan dasar dan kesinambungan operasi perlu diutamakan,” tambah Jamil.
“Ini bermakna Sarawak dan kerajaan persekutuan perlu segera menyelesaikan pertikaian semasa demi daya tahan ekonomi negara.”
Kejelasan peraturan jangka panjang penting bagi menarik dan mengekalkan rakan kongsi asing dalam sektor huluan minyak dan gas Malaysia.
“Pertikaian seperti membabitkan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas mencetuskan ketidaktentuan, sekali gus menyukarkan pelabur membuat keputusan yang bermaklumat,” kata Samirul kepada FMT.
“Syarat fiskal jelas dan stabil selain penguatkuasaan konsisten kontrak perkongsian pengeluaran penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur.”
Cabaran mendatang
Menurut Upstream Online, projek Salam-Patawali bukanlah projek berskala besar tetapi sangat penting memandangkan cita-cita Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan gas.
Pembangunan ini merangkumi kapal terapung mampu mengendalikan lebih 100 juta kaki padu gas yang disokong penuh Petronas.
Menurut portal itu, Petronas berhasrat meneruskan projek itu tetapi buat masa ini tidak mampu menggerakkannya bersendirian disebabkan kekurangan kapasiti.
Pritish Bhattacharya, pegawai penyelidik di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Singapura berkata desakan Sarawak mendapatkan autonomi dalam bidang minyak dan gas telah mengancam monopoli Petronas, dengan kesan yang lebih luas terhadap ekonomi negara dan industri tempatan.
Pritish berkata bahawa kesan terhadap keseluruhan ekonomi Malaysia masih ‘sukar diukur’.
“(Sebaliknya), kehilangan akses sumber oleh Petronas berpotensi menimbulkan cabaran berantai kepada syarikat minyak antarabangsa yang sebelum ini hanya berurusan secara berpusat,” katanya kepada FMT.
Perkara itu membimbangkan khususnya dari sudut pelaburan asing memandangkan pelabur lazimnya berurusan dengan Petronas di Malaysia.
Situasi itu boleh berubah menjadi lebih rumit jika mereka terpaksa menjalankan urusan dengan Petros pula.
Jamil memberitahu rantaian nilai domestik sektor itu sangat luas dan terdedah kepada risiko.
Menurut Jabatan Perangkaan, sebanyak 2,894 syarikat terlibat dalam aktiviti perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas berdasarkan bancian terkini.
“Banyak daripada firma ini sangat bergantung kepada kontrak dan perbelanjaan modal Petronas,” kata Jamil, selain syarikat O&G antarabangsa yang turut bergantung pada kerjasama dengan Petronas bagi merealisasikan pelaburan mereka.