DAP Pahang sedia jadi jambatan selesai kemelut kebun durian haram

DAP Pahang sedia jadi jambatan selesai kemelut kebun durian haram

Parti itu akui ada pekebun durian mengusahakan tanah di Raub tanpa kebenaran sejak beberapa dekad lalu.

kebun musang king
Kerajaan Pahang nafi langgar perintah mahkamah dalam menebang sekitar 200 pokok durian Musang King di Sungai Klau, Raub, 8 April lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
DAP Pahang bersedia menjadi jambatan antara kerajaan negeri dan pekebun durian di Raub untuk menyelesaikan isu pencerobohan tanah yang mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menyokong titah Al-Sultan Abdullah ketika merasmikan sidang DUN semalam, DAP Pahang dalam kenyataan mengakui ada pekebun mengusahakan tanah di Raub tanpa kebenaran sejak beberapa dekad lalu.

Namun menurutnya, industri durian Musang King di Raub telah berkembang menjadi satu jenama dikenali di peringkat antarabangsa.

“Pekebun durian berhasrat memberi kerjasama kepada kerajaan Pahang bagi bersama-sama membangunkan industri durian ini ke tahap lebih tinggi dan turut menjana ekonomi negeri.

Wan Rosdy Wan Ismail yakin tindakan Chow Yu Hui menghalang tugas penjawat awam dalam operasi kebun haram durian dibuat atas kapasiti individu bukan pendirian DAP.

“DAP Pahang bersedia memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan negeri dan pekebun bagi membuka ruang rundingan konstruktif demi mencari penyelesaian baik secara harmoni.

“Ia bagi meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri serta memastikan sektor pertanian di seluruh negeri dapat diurus secara tersusun dan mampan demi kesejahteraan semua pihak,” katanya.

DAP Pahang turut menyokong hal ehwal pentadbiran tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

Semalam, Sultan Pahang mahu kemelut pencerobohan di membabitkan 14,494.9 hektar tanah di negeri itu dinoktahkan.

Tanah kerajaan itu diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.

Media sebelum ini melaporkan berlaku kekecohan dalam operasi penguatkuasaan pencerobohan tanah haram dengan tanaman durian di Sungai Klau, pada 8 April lalu.

Pekebun telah menyekat laluan dan mempamerkan sepanduk untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan operasi yang memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun.

Kerajaan Pahang menafikan melanggar perintah mahkamah dalam menebang sekitar 200 pokok durian Musang King dalam operasi itu.

Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui dari DAP dan seorang aktivis dibebaskan pada 15 April lalu, sehari selepas mereka ditangkap kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam dalam operasi itu.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata tindakan Chow itu mewakili individu bukan mencerminkan pendirian DAP yang menjadi sebahagian komponen kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.