SKMM akan serah kertas siasatan isu Jalur Gemilang pada DPP

SKMM akan serah kertas siasatan isu Jalur Gemilang pada DPP

SKMM siasat akhbar Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh atas kesalahan penggunaan tak wajar kemudahan rangkaian.

fahmi fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kertas siasatan SKMM terhadap akhbar Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah melengkapkan siasatannya terhadap dua akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan paparan Jalur Gemilang tidak sempurna.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kertas siasatan oleh SKMM akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Fahmi berkata siasatan terhadap Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh itu dijalankan oleh tiga agensi – Kementerian Dalam Negeri (KDN), SKMM dan polis.

“SKMM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian), dan kertas siasatan akan dihantar kepada DPP untuk pertimbangan serta nasihat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai siasatan oleh KDN dan polis, yang dijalankan di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sin Chew Daily sebelum ini memohon maaf kerana tersilap memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan edisi Selasa lalu.

Ketua editor dan timbalan ketua sub-editor akhbar itu digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

Kedua-duanya dipanggil memberikan keterangan kepada polis selama tiga jam semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan.

KDN dan SKMM turut menjalankan siasatan terhadap Kwong Wah Yit Poh yang memuat naik imej Jalur Gemilang tidak sempurna dalam satu hantaran Facebook yang memaparkan muka hadapan edisi petangnya, juga pada hari Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.