
Sinar Harian melaporkan R Suresh Khanna, 47, membuat pengakuan itu di depan Hakim Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki 40 tahun menggunakan parang di tingkat satu sebuah kedai telekomunikasi di Seremban Gateway kira-kira 8.10 malam 14 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu serius dan keluarga mangsa kini dalam ketakutan.
Peguam Thayalan Moorthy memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tiga anak dan bekerja sebagai pengurus tapak dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
Jika tidak diberikan jaminan, katanya, kesihatan tertuduh akan merosot kerana dia menghidap beberapa penyakit termasuk hipertensi.
“Saya mohon jaminan rendah dan difahamkan keluarga setakat ini dapat kumpulkan RM8,000 saja.”
Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta mangsa sehingga kes selesai, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport, jika ada.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki parah diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang di sebuah pusat beli-belah di Seremban.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular menunjukkan seorang lelaki berparang menetak mangsa di kawasan tumpuan ramai.
Ketua Polis Seremban, Mohamad Hatta Che Din dilaporkan berkata kejadian itu dipercayai membabitkan unsur gangsterisme akibat dendam.