
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata garis panduan Puspal yang dikenali sebagai GPP 6.0 itu diperkenalkan bagi memperkemaskan pengurusan acara termasuk memastikan proses permohonan lebih mesra industri, telus dan efisien, lapor Bernama.
Katanya, garis panduan itu yang akan berkuat kuasa 1 Mei ini penting dalam usaha membina ekosistem hiburan yang progresif, selamat dan bertaraf antarabangsa.
“GPP ini mengandungi dasar-dasar kerajaan, tatacara permohonan serta peraturan berkaitan penggambaran filem asing dan persembahan artis luar negara,” katanya dalam satu majlis anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (Alife).
Fahmi berkata selain pengurusan insiden yang menjadi elemen penting GPP 6.0, beberapa panduan juga dipinda mengikut kesesuaian, selaras perubahan struktur dan usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Antara pindaan tersebut termasuk semakan semula tempoh larangan atau ‘blackout dates’, serta pemendekan tempoh permohonan bagi kategori persembahan kecil dan promosi daripada 14 hari kepada tujuh hari.
Katanya, keperluan pra-permohonan juga dijadikan syarat wajib sebelum sebarang aktiviti pengiklanan, promosi atau jualan tiket dibuat bagi persembahan membabitkan artis luar negara.
“Kita tidak mahu berlaku situasi di mana tiket sudah dijual, namun artis tersebut sebenarnya belum mendapat kelulusan pra-permohonan atau permohonan daripada pihak Puspal,” katanya.
Menurutnya, dokumen GPP 6.0 juga diterbitkan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan beberapa bahasa antarabangsa lain bagi memudahkan rujukan penggiat industri dari dalam dan luar negara.