Kastam gagalkan cubaan bawa masuk bunga ganja RM3.6 juta

Kastam gagalkan cubaan bawa masuk bunga ganja RM3.6 juta

Sindiket cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytihar barangan berkenaan sebagai buku, pakaian dan alatan permainan sebelum dikesan.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor Ahmad Taufik Sulaiman menunjukkan 36.091kg bunga ganja bernilai RM3.6 juta yang  dirampas dalam operasi di KLIA. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 36.091kg bunga ganja bernilai RM3.6 juta dalam operasi di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 2 April lalu.

Sindiket terbabit cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytihar barangan berkenaan sebagai buku, pakaian dan alatan permainan sebelum pemeriksaan menemui beberapa butiran mencurigakan pada bungkusan mengandungi bunga ganja berkenaan.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Ahmad Taufik Sulaiman, berkata, siasatan awal mendapati ia dipercayai untuk dieksport ke beberapa lokasi di Eropah.

“Pemeriksaan kira-kira jam 10.50 malam sebelum itu melibatkan sejumlah bungkusan yang diimbas dan menunjukkan imej menyerupai bahan organik.

“Siasatan lanjut kemudian menemui dadah jenis bunga ganja, dengan anggaran berat sebanyak 36.091 kilogram membabitkan nilal dianggarkan berjumlah RM3,567,595,” katanya pada sidang media di Kompleks JKDM Kuala Lumpur hari ini, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, bungkusan terbabit dipercayai dihantar dari beberapa lokasi antaranya Pulau Pinang, Kuantan dan Lembah Klang.

“Kita percaya sumber dadah ini bukan dari dalam negara, sebaliknya ia dari luar berdasarkan operasi dijalankan sebelum ini.

“Selain itu, semakan turut mendapati kesemua bungkusan mengandungi bunga ganja ini diikrar sebagai buku, pakaian dan alatan permainan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya lagi, semakan lanjut mendapati harga bunga ganja itu adalah sekitar RM98,000 sekilo berbanding harga ganja biasa sekitar RM3,200.

“Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.