Felda perkenal lori GPS cegah ketirisan hasil

Felda perkenal lori GPS cegah ketirisan hasil

Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek berkata sistem kebolehjejajakan itu dapat memastikan hasil dapat dihantar hanya ke kilang dan pusat pengumpulan Felda.

Ahmad Shabery Cheek melancarkan lori elektrik milik Felda yang dilengkapi peranti teknologi pemantauan GPS untuk memantau penghantaran hasil sawit. (Gambar Felda)
PETALING JAYA:
Penggunaan lori eletrik dengan peranti teknologi pemantauan GPS antara inisiatif terbaharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam usaha menyelesaikan isu ketirisan hasil.

Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek berkata sistem pemantauan dibangunkan Sustainable Future Sdn Bhd itu dapat memastikan hasil dapat dihantar terus ke kilang dan pusat pengumpulan Felda bukannya ke pihak ketiga.

Menurutnya, sistem baharu itu juga akan memastikan setiap hasil sawit ditimbang, direkod secara digital dan dipantau dalam sistem dikendalikan Koperasi Permodalan FELDA (KPF).

Sebelum ini, Felda dilaporkan mengalami kerugian sehingga RM200 juta akibat tindakan peneroka menggunakan orang tengah untuk menjual hasil sawit mereka.

“Data hasil ini menjadi pangkalan maklumat penting untuk strategi pasaran, subsidi dan logistik, sekali gus memperkukuh daya saing Felda dalam sektor agri komoditi negara.

“Sebelum ini, KPF mengalami kejatuhan dividen ekoran kelemahan dalam sistem agihan hasil.

“Dengan pembaharuan ini, Felda mensasarkan pemulihan semula kekuatan koperasi sebagai nadi pembangunan ekonomi komuniti peneroka,” kata Shabery dalam kenyataan.

Pengenalan teknologi baharu itu selaras pelancaran pusat pengumpulan hasil sawit bersepadu Damar Berkat: Pusat Mengumpul Sawit (PMS), di Felda Bukit Damar, Pahang baru-baru ini.

Shabery berkata pembukaan PMS itu disifatkan sebagai titik permulaan kepada reformasi pengurusan hasil peneroka yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus didalangi peraih, sindiket penimbang dan ejen luar.

“Sistem lama telah membuka ruang kepada ‘singa, buaya dan gajah’ yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain kaut.

“Felda tidak boleh lagi berdiam diri. Ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah Felda secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat kehilangan hasil tidak direkod dan aktiviti luar sistem.

“Mereka (peraih) memanipulasi hasil sawit, ambil untung tanpa usaha, sawit ‘hilang’ di tengah jalan malah pembayaran tidak telus. Situasi ini telah melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.