Asean tolak tarif dikenakan secara unilateral, kata Anwar

Asean tolak tarif dikenakan secara unilateral, kata Anwar

Asean capai konsensus tidak setuju tarif unilateral kerana bertentangan dengan prinsip perjanjian pelbagai hala, kata perdana menteri.

Anwar Ibrahim di thailand
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media di Bangkok pada akhir lawatan kerjanya ke Thailand. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan Asean menolak sebarang bentuk tarif yang dikenakan secara unilateral, dengan menyatakan langkah sedemikian bercanggah dengan semangat multilateralisme.

Anwar yang sedang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Thailand berkata, beliau berpeluang membincangkan perkara itu dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, berhubung tarif baharu yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Katanya, mesyuarat menteri perdagangan dan menteri kewangan Asean yang diadakan baru-baru ini sebahagiannya bertujuan sebagai persiapan bagi rundingan berterusan berkaitan tarif unilateral AS itu.

“Kita telah membentuk konsensus Asean. (Kita) menyokong perdagangan bebas dan multilateralisme,” katanya pada sidang media pada akhir lawatan kerjanya ke Thailand hari ini.

“Kita mengambil pendirian, kita tidak bersetuju dengan sebarang pengenaan tarif secara unilateral, kerana ia bertentangan dengan prinsip perjanjian pelbagai hala.”

Anwar berkata, pendirian ini mencerminkan konsensus kolektif Asean berhubung tarif yang dikenakan AS.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan pendirian sama yang diambil oleh negara anggota Asean dan rakan serantau utama, termasuk Jepun dan New Zealand.

Katanya, beliau berbesar hati apabila Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, dan pemimpin Asean secara kolektifnya bersetuju mengguna pakai mekanisme pelbagai hala dan mengadakan dialog dengan AS.

Dilaporkan bahawa Asean dan juga Malaysia jelas menyatakan bahawa mereka tidak akan mengambil tindakan tindak balas terhadap pengenaan tarif itu.

Pada 3 April, pentadbiran Trump melaksanakan tarif minimum 10% ke atas import dari semua negara, bawah dasar perdagangan timbal balik dan tarifnya.

Negara anggota wilayah Indochina Asean merupakan antara yang paling terjejas, dengan Kemboja dikenakan gabungan tarif dasar dan timbal balik berjumlah 49%, diikuti Laos (48%), Vietnam (46%), dan Myanmar (44%).

Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36%, Indonesia 32%; Brunei dan Malaysia masing-masing 24%; Filipina 17%; manakala Singapura pada tarif asas 10%.

Bagaimanapun, tarif timbal balik itu kini ditangguhkan sementara selama 90 hari, kecuali terhadap China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.