
Anwar berkata, perbincangan beliau dan pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar itu antara lain menyentuh kepentingan mengembalikan negara itu kepada keadaan sediakala selepas rampasan kuasa pada 2021.
Beliau turut menyambut baik langkah awal meredakan ketegangan, termasuk pembebasan 4,800 tahanan pada Rabu malam.
“Tindakan sebegini memberi isyarat cukup bermakna. Kita mesti terus menggalakkan semua pihak berunding secara serius demi kestabilan Myanmar dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya dalam catatan Facebook malam tadi.
Anwar yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Thailand mulai Khamis, menemui Min di Bangkok petang semalam. Pertemuan itu turut dihadiri bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Anwar berkata, beliau akan menemui wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pagi ini.
NUG dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) membentuk kerajaan dalam buangan Myanmar. Ia ditubuhkan selepas rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan protes meluas dan pergolakan di seluruh negara.
Kumpulan hak asasi awam berkata, junta menahan beribu penunjuk perasaan dan aktivis sejak rampasan kuasa itu, yang menyaksikan tenteranya menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi dipilih secara demokrasi oleh rakyat dan Liga Kebangsaan untuk Demokrasi.
Rampasan kuasa itu mencetuskan perang saudara pelbagai pihak yang menyaksikan sekurang-kurangnya tiga juta penduduknya hilang tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Semalam, ketua kerajaan tentera Myanmar dilaporkan memberi pengampunan kepada hampir 5,000 tahanan sempena sambutan Tahun Baharu tradisional negara itu.
Sebuah badan pemerhati bebas dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 22 daripada individu dibebaskan adalah tahanan politik.
Sementara itu, Anwar berkata, perbincangan mereka memfokuskan usaha memulihkan Myanmar dan keperluan kemanusiaan di negara itu susulan gempa kuat akhir bulan lalu.
“Dalam pertemuan lebih satu jam ini, kami berbincang secara terbuka dan konstruktif dengan tumpuan kepada keperluan mendesak untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan, termasuk penempatan segera sebuah hospital medan.”
Gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Myanmar 28 Mac lalu meragut lebih 5,300 nyawa dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan sudah kritikal di negara itu di tengah-tengah perang saudara.
Semalam, Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, misi menghantar pegawai perubatan ke Myanmar untuk menubuhkan hospital medan ditangguhkan atas permintaan pihak berkuasa negara itu.