Tiada ‘tangan ghaib’ pengaruhi pemilihan PKR, kata Zaliha

Tiada ‘tangan ghaib’ pengaruhi pemilihan PKR, kata Zaliha

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR itu berkata parti mempunyai juruaudit yang memantau keseluruhan proses pemilihan.

zaliha mustafa
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa berkata semua bantahan berkaitan keputusan pemilihan parti hanya akan disemak selepas semua proses pengundian peringkat bahagian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa menafikan wujudnya ‘tangan ghaib’ yang cuba mempengaruhi proses pemilihan peringkat bahagian yang berlangsung di tujuh negeri minggu lalu.

Beliau juga mengulangi nasihatnya supaya mereka yang tidak berpuashati atau mempunyai maklumat sebarang berhubung politik wang atau salah laku sepanjang pemilihan itu untuk menyalurkan aduan secara rasmi, lapor Berita Harian.

Katanya, jawatankuasa itu bekerjasama rapat dengan pasukan pembangunan sistem pemilihan secara dalam talian bagi memastikan kelancaran dan ketelusan proses pengundian.

“Kami mempunyai juruaudit yang memantau keseluruhan proses pemilihan ini.

“Setakat ini, saya perhatikan sepanjang proses ini berlangsung, saya tidak melihat sebarang petunjuk wujudnya ‘tangan ghaib’ seperti yang didakwa,” katanya selepas satu program di Putrajaya.

Pemilihan bahagian PKR di Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka berlangsung dari 11 hingga 13 April lalu.

Proses pengundian di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Pahang, Sabah dan Johor dijadualkan bermula esok hingga Ahad.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail menggesa PKR menangguhkan pemilihan di negeri lain sehingga ‘kepelikan’ dalam proses pengundian ditangani.

Rodziah, yang gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian Shah Alam berkata beliau ‘pelik’ bagaimana ‘regunya’ bagi jawatan timbalan, naib dan ahli jawatankuasa menang dengan undi yang tinggi.

Rodziah turut mendakwa antara penemuan pelik yang menimbulkan kemusykilan apabila undi kepada ketua bahagian tidak dicatatkan.

Rodziah berkata satu bantahan rasmi telah dikemukakan kepada JPP berhubung dakwaan tersebut.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Adun Rawang, Chua Wei Kiat juga akan mengemukakan rayuan selepas tewas dalam saingan merebut jawatan ketua bahagian dalam pemilihan, Sabtu lalu.

Zaliha semalam menegaskan semua bantahan berkaitan keputusan pemilihan parti 2025 hanya akan disemak selepas semua proses pengundian peringkat bahagian selesai dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.