Terima dulu harga baru benih padi, Mat Sabu beritahu pesawah

Terima dulu harga baru benih padi, Mat Sabu beritahu pesawah

Penurunan RM2 bagi kampit 20kg dikatakan tidak beri impak, namun kementerian akan semak harga ikut keperluan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, berkata kementerian sentiasa cakna tuntutan komuniti dan ikhtiar kurangkan beban pesawah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Harga benih padi sah (BPS) akan disemak dari semasa ke semasa demi memastikan kadarnya munasabah dan tidak membebankan pesawah, kata Mohamad Sabu.

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata, keputusan kerajaan menurunkan benih padi kepada RM2 kampit 20kg perlu diterima dulu petani buat masa ini.

Beliau menegaskan, kementerian sentiasa cakna dengan tuntutan komuniti terlibat dengan sektor keterjaminan makanan negara.

“Memang buat masa ini diturunkan RM2 (benih padi), saya harap petani kena terima dulu, saya juga harap semua pihak boleh bekerjasama kerana kalau mereka tidak bekerjasama kita tidak akan dapat mewujudkan kestabilan harga melibatkan barang-barang keperluan,” katanya menurut Bernama di Tapah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Hadir sama, Pengerusi Mahfuz Omar.

Pada Isnin, kementerian memaklumkan harga kawalan maksimum BPS di bawah Insentif Benih Padi Sah diselaraskan kepada RM52 di peringkat borong dan RM56 bagi runcit per kampit 20kg di Semenanjung, berkuat kuasa 15 April.

Namun, dilaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyeru agar kadar itu dikaji semula memandangkan penurunan RM2 sekampit tidak memberi impak besar terhadap kos keseluruhan pesawah.

Sementara itu, Mohamad berkata harga santan kelapa yang secara umumnya telah mengalami sedikit penurunan pada Aidilfitri lepas dijangka stabil dalam masa sebulan lagi.

“Kita telah ambil (import) kelapa dari luar lebih sejuta biji dan akan ditambah dari semasa ke semasa, cuma ini musim perayaan, selepas ini ia akan kembali stabil (turun).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.