
Timbalan pendakwa raya (TPR) Farah Ezlin Yusop Khan berkata bekas ketua Pemuda Bersatu itu memperoleh wang tersebut melalui dua acara kutipan dana di Muar dan Ampang pada awal April tahun itu.
Dana itu disimpan dalam akaun bank Pemuda Bersatu.
Farah berkata pembantu bendahari Pemuda Bersatu ketika itu, Rafiq Hakim Razali, diarahkan untuk memindahkan RM120,000 ke dalam akaun peribadi Syed Saddiq dalam empat transaksi berasingan sebelum kempen pilihan raya bermula pada 28 April.
Kemudian, Syed Saddiq memindahkan RM100,000 dalam dua transaksi pada 15 dan 16 Jun ke dalam akaun pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB).
“Apa yang berlaku adalah perubahan niat kerana wang itu langsung tidak digunakan sepanjang tempoh kempen pilihan raya dan hanya disalurkan kemudian,” katanya di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim.
Turut menganggotai panel ialah Hakim Azman Abdullah dan Hakim Noorin Badaruddin.
Farah berhujah berkaitan pertuduhan menyalahgunakan wang RM120,000, di mana bekas menteri belia dan sukan itu disabitkan bersalah oleh Hakim Azhar Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata keterangan bela diri Syed Saddiq bahawa wang tersebut digunakan bagi perbelanjaan pilihan raya adalah bersifat ‘after tought’ (perkara yang difikirkan kemudian).
“Pembelaan ini hanya dikemukakan semasa perbicaraan selepas tertuduh ditangkap,” katanya.
Pada 9 Nov 2023, Syed Saddiq disabitkan bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam jenayah pecah amanah membabitkan RM1 juta serta penyelewengan dana RM120,000.
Bagi pertuduhan pecah amanah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan rotan ke atasnya.
Beliau turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu lagi sebatan bagi kesalahan penyelewengan dana, serta tambahan hukuman penjara dua tahun bagi setiap kesalahan pengubahan wang haram.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pecah amanah dan penyelewengan dana dijalankan secara berasingan, manakala hukuman bagi kesalahan pengubahan wang haram berjalan serentak.
Akibatnya, Syed Saddiq perlu menjalani hukuman penjara selama lima tahun. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan bekas presiden Muda itu.
Dalam penghakiman setebal 22 halaman dikeluarkan pada 28 Nov tahun lalu, Azhar menyatakan bahawa hukuman dijatuhkan terhadap Syed Saddiq tidak keterlaluan kerana mahkamah mengambil kira statusnya sebagai tokoh awam dan contoh kepada golongan belia.
Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin turut berhujah bahawa sabitan bersubahat dalam jenayah pecah amanah harus dikekalkan kerana Syed Saddiq mengarahkan Rafiq mengeluarkan wang itu pada 2020.
“Kami tidak mendakwa Rafiq atas kesalahan pecah amanah kerana beliau hanya menurut arahan tertuduh,” katanya yang menambah bahawa Syed Saddiq adalah dalang utama.
Peguam bela Hisyam Teh Poh Teik pula berhujah bahawa hakim perbicaraan gagal menilai keterangan pembelaan dengan sewajarnya. Katanya ini melanggar Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah.
“Ini bermakna tertuduh tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana berlaku salah arah serius oleh hakim perbicaraan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penghakiman sebagai ‘tidak menyeluruh’ dan cenderung memihak kepada pendakwaan.
Hisyam berkata penghakiman tersebut tidak membincangkan mengapa hakim perbicaraan mendapati Syed Saddiq bersalah bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Peguam kanan itu juga berkata, hukuman penjara yang dikenakan jelas keterlaluan dan meminta mahkamah hanya menjatuhkan hukuman penjara sehari sekiranya sabitan dikekalkan.
Peguam kanan Yusof Zainal Abiden yang juga bekas peguam cara negara, turut mewakili Syed Saddiq.
Panel hakim menangguhkan keputusan rayuan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.