Presiden China tamat lawatan negara 3 hari ke Malaysia

Presiden China tamat lawatan negara 3 hari ke Malaysia

Pesawat Air China yang membawa Xi Jinping dan delegasinya berlepas dari KLIA pada 10.04 pagi tadi.

Presiden China Xi Jinping melambai sebelum berlepas ke Kemboja hari ini selepas menamatkan lawatan negara tiga hari ke Malaysia. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Presiden China, Xi Jinping berlepas ke Kemboja hari ini selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari di Malaysia.

Pesawat Air China yang membawa Xi dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10.04 pagi tadi.

Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Kehormat) mengadakan kawalan kehormatan untuk Xi sempena upacara pelepasan di Kompleks Bunga Raya.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada delegasi itu.

Upacara pelepasan itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzik tradisional Melayu, Cina dan India oleh Akademi Arjunasukma dari Gombak.

Menyerikan lagi suasana ialah persembahan pancaragam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Yu Hua, Kajang; Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya serta Pancaragam Pusat Polis.

Pelbagai lagu dipersembahkan, termasuk lagu tempatan seperti Rasa Sayang dan Wau Bulan, Shake It Off, Setia serta persembahan tradisional Tarian Dabus.

Xi memulakan lawatan negara Selasa lalu atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ini kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertama pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Semalam, Xi diberi sambutan negara, diikuti sesi menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara dan menghadiri jamuan negara bersama Seri Paduka Baginda.

Dalam pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana semalam, Anwar dan Xi membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 31 dokumen, termasuk memorandum persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman antara Malaysia dan China. Ia diikuti jamuan rasmi dianjurkan Anwar bagi meraikan kunjungan Xi.

Lawatan ini sebahagian siri kunjungan Xi ke tiga negara Asia Tenggara, di mana beliau ke Vietnam sebelum ini. Ini siri lawatan negara pertamanya tahun ini.

Sebagai pengerusi Asean dan penyelaras negara bagi Hubungan Dialog Asean-China, Malaysia menegaskan komitmennya untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif antara Asean dan China melalui dialog, keyakinan bersama serta inisiatif memfokuskan rakyat.

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik mulai 31 Mei 1974 dan tahun lalu merupakan ulang tahun ke-50.

Sejak 2009, China kekal rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Tahun lalu, jumlah dagangan dua negara bernilai RM484.12 bilion, merangkumi 16.8% daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.