PM alu-alukan konglomerat Thailand labur di Malaysia

PM alu-alukan konglomerat Thailand labur di Malaysia

Malaysia sedia tawaran menarik untuk pelabur Thailand, terutamanya dalam sektor nilai tambah tinggi, seperti E&E dan automotif, kata Anwar Ibrahim.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dengan tokoh perniagaan Thai di Bangkok hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengetengahkan pelbagai peluang pelaburan di Malaysia dalam perjumpaan bersama tokoh perniagaan di Bangkok.

Anwar berkata, beliau bertemu dengan wakil tiga konglomerat terkemuka Thailand, iaitu TCC Group, Minor International Group, dan PTT Group, bagi membincangkan potensi pelaburan dan kerjasama strategik dengan Malaysia.

“Malaysia menyediakan tawaran menarik untuk pelabur Thailand, terutamanya dalam sektor nilai tambah tinggi, seperti elektrik dan elektronik (E&E), automotif (kenderaan elektrik) dan bahan kimia,” katanya dalam catatan di Facebook.

“Saya mengalu-alukan usaha pelaburan berimpak tinggi oleh syarikat-syarikat negara jiran seperti Thailand, dan komited untuk memudah cara pelaburan berkualiti khususnya dalam sektor nilai tambah tinggi yang menjadi tumpuan dasar ekonomi negara.”

Tambahnya, Malaysia dipandu dasar ekonomi seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), Strategi Semikonduktor Negara dan Strategi Pelaburan Hijau dalam usaha ‘memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan merancakkan inovasi dalam sektor baharu’.

Anwar berkata, sebagai pengerusi Asean tahun ini, Malaysia komited untuk mengukuhkan kesalinghubungan serantau dan memupuk rantau berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan rakyat yang bersepadu secara mendalam dengan ekonomi global, berpasakkan hubungan rapat dengan negara jiran seperti Thailand.

Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.

“Saya menghargai kesediaan kerajaan Thailand untuk meneruskan kemajuan terhadap kesepakatan sedia ada, yang menyentuh usaha memperkasa ekonomi di wilayah utara Malaysia dan selatan Thailand,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi catatan Facebook lain, Anwar berkata, beliau turut bertemu dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Min Aung Hlaing hari ini.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, katanya, mereka berbincang ‘secara terbuka dan konstruktif’, menumpukan pada keperluan mendesak menyegerakan bantuan kemanusiaan bagi mangsa gempa bumi di Myanmar, serta kepentingan mengembalikan kestabilan negara itu demi kesejahteraan rakyatnya.

“InsyaAllah, pagi esok saya akan bertemu dengan wakil-wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG),” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.