
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rohaimi Md Isa, berkata wanita 77 tahun itu membuat laporan di IPD Brickfields Isnin lalu mendakwa dipelawa kenalannya, iaitu suspek utama yang juga ahli perniagaan untuk membeli saham sebuah syarikat tempatan.
“Mangsa diyakinkan untuk membeli saham tersebut melalui suspek pertama dan saham itu akan dipegang suspek pertama secara amanah untuk pihak mangsa.
“Suspek pertama turut memperkenalkan mangsa kepada rakannya (suspek kedua) yang dikatakan akan bertindak sebagai ejen bagi pembelian itu,” katanya menurut Sinar Harian pada Majlis Aidilfitri JSJK di ibu negara.
Beliau berkata, mangsa ditunjukkan beberapa dokumen bagi meyakinkannya lagi untuk membeli saham itu.
Menurutnya, mulai 2020 hingga 2021, mangsa membuat beberapa bayaran secara cek tunai, deposit tunai dan pindahan wang kepada tiga individu berbeza, termasuk suspek pertama berjumlah RM15.1 juta.
Rohaimi berkata, mangsa mula meminta suspek pertama memindahkan saham dibeli dan mengemukakan bukti pembelian kepadanya pada 2021.
Tetapi, katanya, dua suspek memberi pelbagai alasan dan meminta penangguhan menyebabkan mangsa mencurigai kesahihan pembelian saham itu.
Menurutnya, hasil semakan mangsa kemudian mendapati dokumen ditunjukkan kepadanya direka suspek kedua untuk memperdayanya.
“Beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp antara suspek pertama dan seorang individu berpengaruh di Malaysia mengenai pembelian saham itu sebenarnya hanya perbualan suspek pertama dan kedua,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.