Misi sedia hospital medan di Myanmar ditangguh

Misi sedia hospital medan di Myanmar ditangguh

Menteri luar berkata, kerajaan Myanmar mohon tangguh misi kerana masih cari lokasi selamat dan strategik untuk operasi hospital.

Myanmar
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata, misi kemanusiaan digerakkan ke Myanmar atas dasar bantu mangsa gempa bumi, bukan bermakna iktiraf kerajaan Myanmar sedia ada. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Misi menghantar pegawai perubatan ke Myanmar untuk menyediakan hospital medan, yang dijadualkan berlepas semalam, ditangguhkan atas permintaan pihak berkuasa negara itu, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kerajaan Myanmar memohon penangguhan kerana masih mencari lokasi selamat dan strategik untuk operasi hospital sebagai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke negara yang teruk dilanda gempa bumi pada 28 Mac lepas itu.

“Kawasan yang kita pergi ini adalah kawasan pemberontak dan bahaya, kita akan hantar ramai pakar bedah serta pasukan perubatan dari Hospital Angkatan Tentera ke sana. Jadi, keselamatan mereka itu jadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) bagi PRK Ayer Kuning di Pusat Daerah Mengundi Batu Tiga, Tapah, lapor Bernama.

Mohamad berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya U Than Swe untuk menyatakan pendirian Malaysia yang tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan rakyat negara ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, misi kemanusiaan yang digerakkan itu tidak bermaksud Malaysia mengiktiraf kerajaan Myanmar sedia ada, sebaliknya dilaksanakan untuk membantu rakyat negara itu yang sedang berdepan bencana besar.

Selasa lepas, Menteri Pertahanan Khaled Nordin dilaporkan berkata, hospital medan tentera akan diatur gerak ke Myanmar pada Rabu (semalam).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.