Ketua pengarang Sin Chew Daily dirakam keterangan hari ini

Ketua pengarang Sin Chew Daily dirakam keterangan hari ini

Razarudin Husain berkata timbalan pengarang akhbar turut tersebut diminta hadir memberi keterangan pada 1 petang ini.

Razarudin Husain berkata wakil Sin Chew Daily dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis akan merakam keterangan ketua pengarang dan timbalan pengarang akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily kerana menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar itu semalam.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata mereka diminta hadir memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman pada 1 petang ini.

Katanya, siasatan dijalankan susulan satu laporan dibuat seorang wartawan di Perak berhubung penularan gambar ilustrasi di akhbar berkenaan.

“Siasatan bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dimulakan sebaik menerima laporan berkaitan perkara itu.

“Keterangan kedua-duanya diambil memandangkan mereka yang meluluskan gambar bendera selain salah seorang adalah pereka grafik ilustrasi gambar bendera berkenaan,” katanya lapor Berita Harian.

Semalam, Razarudin dilaporkan mengesahkan sudah membuka siasatan terhadap Sin Chew Daily selepas pihaknya menerima 13 laporan di seluruh negara.

Sebelum itu, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Sin Chew Daily telah diberikan surat tunjuk sebab selepas dipanggil bagi siasatan berhubung isu itu.

Susulan itu, akhbar terbabit mengambil tindakan disiplin terhadap petugas bertanggungjawab atas kesilapan paparan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.