
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias, berkata dalam beberapa kes, ada wanita mendapat bayaran tetap selepas nama mereka digunakan berulang kali.
“Siasatan mendapati nama wanita terlibat dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi atas dorongan ganjaran ditawarkan ejen atau pihak ketiga, termasuk sindiket.
“Sijil kelahiran yang dikeluarkan kepada pemaklum (kelahiran) kemudian diserah kepada ejen untuk dipasarkan ke pasaran gelap,” katanya menurut Bernama.
Kelahiran bayi didaftarkan dengan mengisi borang permohonan untuk kategori ibu tunggal, walaupun wanita itu tiada sebarang hubungan biologi dengan bayi terbabit.
Selasa lalu, 10 individu ditahan di sekitar Lembah Klang dan Melaka dalam Op Tumpang 2.0 bersama Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Badrul Hisham berkata, terdapat lelaki yang ditahan dalam operasi itu kerana nama mereka digunakan sebagai bapa kandung untuk mendaftarkan kelahiran bayi diperoleh daripada pihak ketiga, seperti bayi luar nikah, anak tidak berdokumen atau warga asing.
Menurutnya, selepas mendapat sijil kelahiran warganegara, bayi itu boleh memohon MyKad untuk mengakses kemudahan dinikmati rakyat Malaysia seperti pendidikan dan kesihatan.
Katanya, hasil soal siasat mendapati wujud jaringan ejen mencari individu untuk menumpangkan nama sebagai ibu atau bapa kepada bayi dan menguruskan semua dokumen sokongan palsu atau memanipulasi dokumen seperti surat perubatan serta pengesahan kelahiran palsu.
Beliau berkata, sindiket itu mengenakan bayaran tertentu kepada keluarga angkat atau pihak ingin mendapatkan kanak-kanak lengkap pakej dokumen pengenalan diri rasmi.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya sambil menambah JPN tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk urusan dokumentasi diri, sijil lahir warganegara dan kad pengenalan.
Badrul Hisham meminta individu atau keluarga terkait isu sijil lahir tidak teratur ke pejabat JPN untuk memperoleh dokumen anak jagaan secara teratur berdasarkan peraturan.
“JPN sentiasa komited menangani dan membanteras sindiket pengeluaran sijil kelahiran serta akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi menangani isu pendaftaran kelahiran tidak teratur.”