Suhakam gesa AGC rayu hukuman ‘terlalu ringan’ denda miliki pornografi kanak-kanak

Suhakam gesa AGC rayu hukuman ‘terlalu ringan’ denda miliki pornografi kanak-kanak

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Farah Nini Dusuki juga gesa Jabatan Peguam Negara pastikan hukuman lebih berat dikenakan.

Farah Nini Dusuki
Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Farah Nini Dusuki berkata hukuman terlalu ringan cemar kewibawaan sistem keadilan dan dianggap perlekeh keseriusan jenayah itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru Jabatan Peguam Negara merayu keputusan mahkamah mendenda dua individu atas kesalahan memiliki puluhan ribu fail pornografi dan bahan keganasan seksual kanak-kanak (CSAM).

Memohon hukuman lebih berat dan setimpal dikenakan, Dr Farah Nini Dusuki, berkata denda minimum – masing-masing RM3,000 dan RM6,000 – seolah-olah hanya ‘tamparan ringan’ kepada pesalah terdiri golongan profesional yang mampu membayarnya dengan mudah.

“Hukuman terlalu ringan ini mencemar kewibawaan sistem keadilan dan dianggap memperlekehkan keseriusan jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan.

“(Pesuruhjaya kanak-kanak) juga menggesa Jabatan Peguam Negara  memastikan hukuman lebih berat dikenakan apabila kedua-dua individu tersebut didakwa bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dalam masa terdekat.”

Beliau berkata, hukuman ringan terhadap kesalahan melibatkan CSAM tidak akan memberi manfaat kepada kepentingan awam, malah boleh menimbulkan persepsi yang salah bahawa kesalahan memiliki bahan lucah dan eksploitasi kanak-kanak adalah perkara remeh.

Awal bulan ini, dilaporkan empat lelaki memiliki lebih 50,000 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak ditahan dalam operasi rentas sempadan turut melibatkan polis di Singapura, Thailand, Hong Kong, Jepun dan Korea.

Empat lelaki ditahan itu dikatakan terdiri penjawat awam, akauntan, pereka web dan juruteknik wi-fi

Dua suspek ditahan mengaku bersalah bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan masing-masing didenda oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan Shah Alam.

Dalam pada itu, Farah Nini menyokong syor polis undang-undang digubal bagi mewajibkan syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet (ISP) menyimpan data pelanggan sekurang-kurangnya dua tahun.

“Dalam kes ini, data yang hanya disimpan selama enam bulan, menyebabkan pihak berkuasa sukar mengesan identiti yang berkaitan dengan 16 lagi alamat IP.

“Akibatnya, tindakan penguatkuasaan hanya dapat diambil terhadap 4 alamat IP yang membawa kepada tangkapan semasa,” katanya.

Dilaporkan, pada 7 April aktivis hak kanak-kanak menggesa Jabatan Peguam Negara merayu denda RM3,000 dan RM6,000 dikenakan ke atas dua lelaki didapati memiliki pornografi kanak-kanak itu.

Bekas pesuruhjaya Suhakam James Nayagam dan pengasas bersama Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin, berkata denda itu terlalu ringan dan pihak pendakwaan harus berusaha memastikan kedua-dua pesalah  dikenakan hukuman penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.