Bukan tak ikhlas tapi ‘hasrat biasa’, Upko ulas pengumuman Bung

Bukan tak ikhlas tapi ‘hasrat biasa’, Upko ulas pengumuman Bung

Upko setuju kenyataan Bung Moktar Radin mengenai kerjasama BN-PH pada PRN Sabah adalah strategi persepsi politik.

nelson angang
Setiausaha Agung Upko Nelson Angang berkata kenyataan Bung Moktar Radin adalah perkara biasa kerana hakikatnya PH dan BN sebahagian kerajaan perpaduan di peringkat pusat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Upko menganggap kenyataan Barisan Nasional Sabah bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRN adalah ‘hasrat biasa’ memandangkan keputusan rasmi mengenainya belum dibuat.

Justeru, Setiausaha Agung Nelson Angang berkata BN bukan tidak ikhlas menjalinkan kerjasama menuju PRN17 yang akan diadakan pada bila-bila masa tahun ini, dan bersetuju kenyataan Bung Moktar Radin adalah strategi persepsi politik.

“Kenyataan Bung bertujuan mendapatkan reaksi semua orang terutama PH Sabah…bukan mustahil (strategi persepsi politik).

“Ini perkara biasa kerana hakikatnya PH dan BN adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan. Namun, pada masa sama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga Warisan adalah sebahagian daripada kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PH Sabah terbuka mempertimbang dan berbincang sebarang bentuk kerjasama dizahirkan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dengan gabungan itu pada PRN, khususnya mereka yang menjadi sebahagian kerajaan.

Sementara itu, Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, berpendapat sebarang pengumuman seharusnya diangkat ke perbincangan rasmi parti dengan parti.

“Saya percaya perkara ini akan dibincang dalam mesyuarat PH yang akan datang,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, berkata pengumuman ‘sepihak’ Bung adalah strategi persepsi politik untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik dan menguasai kembali naratif media menjelang pilihan raya.

Katanya, Umno Sabah juga menghantar mesej yang parti itu masih relevan, fleksibel dan strategik dalam pendekatan politiknya.

Ahad lalu, Bung yang juga ketua Umno dan pengerusi BN Sabah mengumumkan pihaknya akan bekerjasama dengan PH, yang kini menjadi sebahagian kerajaan negeri diketuai GRS pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Namun, DAP Sabah nafi mengadakan sebarang perbincangan ke arah itu, manakala Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin berkata sebarang kerjasama antara dua gabungan akan meletakkan PH ‘tersepit di tengah-tengah’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.