Bekas calon PRN Johor didakwa songlap wang pertubuhan RM21,000

Bekas calon PRN Johor didakwa songlap wang pertubuhan RM21,000

Abdul Aziz Harun yang bertanding DUN Tiram pada 2022 mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan salah guna wang Pertubuhan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Johor Bahru.

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Mahkamah Sesyen Johor Bahru membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ahli perniagaan yang juga bekas calon PRN Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tiga pertuduhan menyalahgunakan RM21,000 milik sebuah pertubuhan lima tahun lalu.

Abdul Aziz Harun, 50, yang bertanding di DUN Tiram pada PRN Johor 2022, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berita Harian melaporkan bekas pengerusi Pertubuhan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Johor Bahru itu didakwa menyalahgunakan RM21,000 milik pertubuhan terbabit di sebuah bank cawangan Bandar Baru Permas Jaya di Johor Bahru pada 9 Okt 2020, 29 Nov 2021 dan 31 Dis 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Siti Asmah Zainal Ariffin, menawarkan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan, tetapi peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon jaminan lebih rendah atas alasan perniagaan anak guamnya kurang memberangsangkan dan tiga anaknya masih belajar.

“Tertuduh tinggal bersama anak-anak serta ibu dan isteri. Tertuduh juga memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes.”

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei ini untuk serahan dokumen.

Di luar mahkamah, Rafique berkata, Pertubuhan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Johor Bahru sudah dibubarkan dan tertuduh tiada jawatan dalam mana-mana parti politik ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.