
Sultan Ibrahim berkenan menyambut ketibaan Xi pada 10.30 pagi tadi.
Turut hadir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta menteri Kabinet.
Istiadat sambutan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli tembakan meriam 21 das daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Presiden China itu kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.
Selesai acara itu, Xi disambut dengan persembahan tarian selamat datang oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sebagai simbolik penghormatan atas kehadirannya di Istana Negara.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mengadakan pertemuan bersama Xi serta delegasi China, selain menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja.
Xi bersama delegasi turut diraikan serta diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara dengan keberangkatan bersama Yang di-Pertuan Agong di Dewan Santapan Utama.
Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Wisma Putra dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Xi yang diiringi menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Anwar petang ini untuk membincangkan kerjasama dua hala serta saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Anwar juga akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk meraikan Xi, hari ini.
Lawatan Xi sebahagian daripada siri lawatan negara pertamanya tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.
Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.
Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal rakan dagangan terbesar Malaysia.
Jumlah dagangan kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8% daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).