Menteri Sabah bidas wakil pembangkang gagal beri cadangan

Menteri Sabah bidas wakil pembangkang gagal beri cadangan

Mohd Arifin Mohd Arif berkata kerajaan negeri boleh buat tindakan susulan jika ada cadangan dari wakil rakyat Warisan Calvin Chong Ket Kiun berkait hab pendidikan Sandakan.

Mohd Arifin Mohd Arif dan Calvin Chong Ket Kiun bertikam lidah berhubung isu hab pendidikan Sandakan pada sidang DUN Sabah.
PETALING JAYA:
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Mohd Arifin Mohd Arif membidas Calvin Chong Ket Kiun (Warisan–Elopura) yang didakwa gagal memberikan cadangan berhubung pembangunan hab pendidikan Sandakan.

Mohd Arifin (GRS-Membakut) menegaskan wakil rakyat pembangkang itu perlu memberikan cadangan kepada kerajaan negeri supaya tindakan susulan dapat diambil terutama dalam menarik lebih banyak institusi pendidikan bertapak di kawasan itu.

“Saya minta cadangan dari YB, tapi gagal. Minta cadangan (pun) gagal macam mana begitu. Kita akan bantu (jika ada cadangan),” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya pada Sidang Dun Sabah.

Terdahulu berlaku pertikaman lidah antara Mohd Arifin dengan Calvin yang mendakwa kerajaan Sabah mengambil terlalu lama masa untuk berbincang pembinaan dan perkembangan hab pendidikan di Sandakan.

Beliau turut mendakwa telah menghantar lebih 40 surat mengenai perkara itu namun tiada balasan.

Mengikut laporan media, hab pendidikan Sandakan diwujudkan untuk membuka peluang luas kepada pelajar khususnya dari pantai timur Sabah melanjutkan pelajaran selain melahirkan modal insan berkualiti dari luar bandar serta pedalaman Sabah.

Fakulti Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Politeknik dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens antaranya institusi pengajian ada di kawasan itu.

Arifin berkata pihaknya merancang membangunkan sebuah sekolah menengah agama di kawasan itu dan pusat pendidikan lain secara berperingkat.

“Kita akan bincang dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berhubung pembinaan sekolah itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.