
Pengurusan akhbar berbahasa Cina itu berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci berkaitan insiden itu.
“Jabatan Pengarang Sin Chew Daily telah menambah baik prosedur semakan khususnya dalam aspek penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). Kami berjanji untuk lebih berwaspada dan peka dalam menangani isu yang boleh menjejaskan maruah negara dan hubungan antara kaum,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Pengurusan Sin Chew Daily dengan sepenuh hati menerima titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkaitan isu itu.
Sultan Ibrahim bertitah kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.
Dalam catatan di Facebook Sultan Ibrahim, baginda bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak.
Terdahulu, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu.
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan Sin Chew Daily telah diberikan surat tunjuk sebab selepas dipanggil bagi siasatan berhubung isu itu.
KDN dalam kenyataan memaklumkan siasatan dilaksanakan serta-merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Semalam, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.