Isu Jalur Gemilang: Mohon maaf bukan tiket lepas hukuman, kata Pemuda PAS

Isu Jalur Gemilang: Mohon maaf bukan tiket lepas hukuman, kata Pemuda PAS

Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan teknikal tidak disengajakan kerana memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan akhbar itu semalam.

sin chew copy china malaysia
PAS desak tindakan terhadap Sin Chew Daily kerana memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan akhbar itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda PAS berkata permohonan maaf akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit bukan tiket terlepas hukuman.

Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata tindakan tegas perlu diambil kerana mendakwa kesalahan itu cubaan halus untuk menghapuskan identiti kebangsaan dan mengguris maruah negara.

Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan Hamimi Taib Azamudden.

“Perbuatan ini turut menimbulkan persoalan besar berhubung kesetiaan pihak editorial terhadap negara dan memperlihatkan kelemahan prinsip kewartawanan yang seharusnya menjunjung semangat patriotisme serta tanggungjawab sosial.

“Pemuda PAS mendesak kerajaan khususnya Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil segera mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan teknikal tidak disengajakan kerana memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan akhbar itu semalam.

Ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap yang diletakkan bersebelahan bendera China tular di media sosial, dengan banyak pihak menyuarakan rasa tidak puas hati.

Afnan berkata kerajaan perlu adil seperti kes tiga penyampai radio Era mempersenda tarian kavadi ketika Thaipusam pada bulan lalu.

Jika kerajaan gagal mengambil tindakan tegas, katanya ia akan membuka ruang lebih banyak penghinaan berterusan terhadap Islam dan kedaulatan negara.

“Tindakan yang tegas, adil dan berprinsip mesti diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang dan maruah negara terus dipertahankan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.