
Petisyen itu boleh ditandatangani melalui lawan sesawang selamatkantanahpahang.com.
Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang berkata, pihaknya menyokong tindakan tegas kerajaan pimpinan Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani isu itu terutama di hutan simpan kekal (HSK) dan hutan simpan.
Pertubuhan itu turut menyokong titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menegaskan pencerobohan tanah kerajaan sebagai kesalahan dan undang-undang harus ditegakkan tanpa pilih kasih.
“Oleh itu, kami menyokong penerokaan tanah secara haram tanpa kebenaran mestilah dihentikan serta-merta dan tindakan diambil terhadap penceroboh.
“Kerajaan negeri harus terus mempertahankan dasar pemuliharaan hutan dan sumber asli negeri dengan tegas dan adil dan program pemutihan hanya wajar diberikan kepada individu layak,” katanya.
Petisyen itu hadir ketika sebuah lagi pertubuhan dikenali Save Musang King Alliance (Samka) mengumpul sekitar 400 tandatangan mengumpul sokongan menerusi kaedah sama, menuntut operasi penebangan pokok durian di tanah menjadi pertikaian dihentikan.
Menurut penasihat Samka yang juga Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, petisyen itu akan diserahkan kepada Al-Sultan Abdullah dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Laporan media sebelum ini mengatakan bahawa petani telah menyekat laluan dan mempamerkan sepanduk untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka selepas anggota penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun.
Kerajaan Pahang menafikan melanggar perintah mahkamah dalam menebang sekitar 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, 8 April lalu.
Chow dan seorang aktivis telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini, sehari selepas mereka ditangkap kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam dalam operasi itu.