Mahkamah benarkan Najib beri penghormatan terakhir kepada Pak Lah

Mahkamah benarkan Najib beri penghormatan terakhir kepada Pak Lah

Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan bagi membenarkan bekas perdana menteri itu ke Masjid Negara.

Najib Razak hadir
Najib Razak memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini yang sedang membicarakan kes 1MDB Najib Razak membenarkan bekas perdana menteri itu memberi penghormatan terakhir kepada Abdullah Ahmad Badawi.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan kira-kira 9.50 pagi untuk membenarkan Najib ke Masjid Negara, di mana jenazah Allahyarham ditempatkan.

Terdahulu, peguam Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa Jabatan Penjara memberi kebenaran kepada Najib untuk memberi penghormatan terakhir kepada Abdullah, yang lebih dikenali Pak Lah.

Najib dilantik timbalan perdana menteri kepada Abdullah dari 2004 hingga 2009.

Beliau kemudiannya menggantikan Abdullah sebagai perdana menteri.

Menurut Jabatan Perdana Menteri, orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah di dewan solat utama Masjid Negara mulai 11 pagi hingga 1 tengah hari.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara hari ini.

Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara 7.10 malam tadi pada usia 85 tahun.

Prosiding Najib akan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.