Kilang e-waste haram, Sultan Perak tegur pihak berkuasa lemah pantau

Kilang e-waste haram, Sultan Perak tegur pihak berkuasa lemah pantau

Sultan Nazrin Shah persoal bagaimana kilang e-waste tersergam boleh beroperasi lebih lapan bulan sebelum diserbu dengan nilai sita RM1.3 bilion.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, bertitah operasi haram melibatkan e-waste semakin berleluasa sehingga menjadikan Malaysia antara destinasi utama lambakan sisa di peringkat global. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menegur kelemahan pihak berkuasa memantau kegiatan pemprosesan e-waste, sambil merujuk rampasan RM1.3 bilion dari sebuah kilang haram tersergam di Sungai Siput yang beroperasi di kawasan terbuka.

“Insiden ini mengundang persoalan, bagaimana pelbagai pihak berkuasa boleh terlepas pandang tentang kewujudan sebuah kilang yang tersergam, boleh beroperasi secara haram di kawasan terbuka,” titah baginda menurut Sinar Harian pada pembukaan rasmi sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Dilaporkan, pada 15 Feb lalu, seorang saintis warganegara China antara 27 individu ditahan dalam serbuan Op Hazard di sebuah kilang e-waste haram di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang, Sungai Siput.

Sitaan keseluruhan pihak berkuasa melibatkan RM1.3 bilion merangkumi mesin-mesin memproses, peleburan dan makmal, bagi mengurai bahan logam antaranya timah, besi, aluminium, dan tembaga untuk diproses dijadikan jongkong logam dan tembaga bagi eksport.

Kilang berkenaan sudah beroperasi lebih lapan bulan di tapak seluas 4.8 hektar sebelum serbuan dilakukan Jabatan Alam Sekitar dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, operasi haram melibatkan e-waste kini semakin berleluasa sehingga menjadikan Malaysia antara destinasi utama lambakan sisa di peringkat global.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap modus operandi sindiket e-waste dikesan memalsukan dokumen dan mengisytiharkan kargo secara tidak tepat bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Titahnya, kebanyakan premis pemprosesan e-waste menjalankan operasi tanpa kawalan sehingga mencetuskan pencemaran udara, tanah dan air.

“Lambakan e-waste perlu diberikan perhatian serius kerana e-waste mengandungi bahan toksik dan berbahaya.

“Sisa toksik yang tidak dilupuskan dengan kaedah yang betul dan selamat, berisiko mencemarkan alam sekitar, serta memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia,” titahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.