
Mohd Ferdaus Andres, 39, bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif bahawa tiada paksaan untuk pelajar terbabit menulis apa-apa perkara di kertas A4, dan tulisan mereka adalah atas pengetahuan sendiri.
Saksi pembelaan ke-16 dalam perbicaraan di hadapan Hakim Duncan Sikodol itu juga bersetuju dengan cadangan bahawa proses siasatan dalaman kolej tersebut dan pihak polis tidak sama.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Mohd Ferdaus berkata, beliau meminta kesemua tertuduh menulis nama penuh, nombor kad pengenalan (IC), nama program serta butiran kejadian yang berlaku.
“Terdapat 13 pelajar berdiri di depan saya dan ada empat pelajar lain yang tidak bergerak, kemudian saya minta mereka tulis di kertas A4, bukan sebagai pengakuan tetapi keterangan awal untuk siasatan dalaman sekolah,” katanya, lapor Bernama.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Kamarudin bahawa beliau menyerahkan kertas berkenaan kepada polis sebelum 13 tertuduh itu dibawa untuk siasatan.
Mereka tidak membantah kertas itu diserahkan kepada polis, tambahnya.
Mohd Ferdaus berkata, ketika kejadian, pada awalnya beliau menyangka ada dua kumpulan pelajar bergaduh selepas melihat ramai berkumpul di Bilik Danum pada pagi 22 Mac tahun lepas.
Katanya, beliau kemudian dimaklumkan oleh seorang guru lain bahawa berlaku insiden bertumbuk membabitkan sekumpulan dan seorang pelajar.
“Saya sendiri awalnya tidak tahu apa yang berlaku, siapa saksi, siapa suspek, jadi arahan pertama saya kepada pelajar-pelajar ini, siapa yang ada sentuh mangsa, sama ada pukul, tumbuk, tampar atau seumpamanya, agar berdiri di depan saya,” katanya.
Pada 28 Feb lepas, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas tuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Saksi pembelaan ke-18 yang juga pegawai penyiasat kes Suddin Tjinke pula memberitahu mahkamah, beliau tidak bersetuju bahawa kertas A4 yang dikaitkan sebagai keterangan awal 13 tertuduh dapat membantu siasatan kes, sebaliknya berkata siasatan menyeluruh perlu dilakukan.
Semasa menjawab pertanyaan Nur Nisla, Suddin berkata, polis tidak menerima kertas A4 terbabit selain memaklumkan tiada kepentingan untuk polis menyimpan dokumen itu.
Seramai 18 saksi termasuk 13 tertuduh selesai memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang berlangsung selama tujuh hari.
Duncan kemudian menetapkan 29 April ini untuk hujahan bertulis diserahkan, manakala 6 Mei ditetapkan sebagai tarikh hujahan balas.
Sementara itu, tarikh 14 Mei ditetapkan bagi kedua-dua pihak memfailkan hujahan sebelum hakim memutuskan sama ada kesemua tertuduh akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.
Nur Nisla dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri manakala lapan tertuduh diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin dan Chen Wen Jye.
Lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.