
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata wanita berusia 56 tahun itu dalam laporannya semalam memaklumkan melihat satu iklan pelaburan saham di Facebook pada 17 Dis lalu.
Menurutnya mangsa menekan pautan iklan sebelum menerima mesej melalui WhatsApp daripada suspek yang mengarahkannya memuat turun aplikasi pelaburan “Quantum” kononnya untuk pelaburan dalam saham tempatan dan Amerika Syarikat.
“Mangsa kemudiannya dihubungi nombor WhatsApp lain mendakwa sebagai khidmat pelanggan dan diarahkan membuat pindahan wang kepada beberapa akaun bank bagi tujuan pelaburan.
“Antara 12 Feb hingga 26 Mac lalu, mangsa melakukan 18 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM1,068,600,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata mangsa yang mengeluarkan wang simpanan peribadi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta membuat pinjaman bank, menyedari ditipu selepas hanya menerima pulangan RM20,000.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Yahaya menasihatkan orang ramai jangan mudah terpengaruh skim pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan dan menyemak sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelakkan terpedaya.
“Sekiranya menerima panggilan meragukan, orang ramai dinasihatkan segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon diterima di https://semakmule.mp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.”