Dapatkan tiket Man United lawan pilihan Asean mulai 11 pagi

Dapatkan tiket Man United lawan pilihan Asean mulai 11 pagi

Tiket boleh dibeli secara eksklusif di www.myticketempire.com/manumy.

manchester united
Manchester United bakal menentang pasukan pilihan Asean All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Mei ini. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Peminat Manchester United boleh membeli tiket perlawanan pasukan itu menentang Asean All-Stars pada aksi Maybank Challenge Cup, mulai 11 pagi ini.

Menurut ProEvents International, jualan tiket perlawanan bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Mei depan itu akan dibuka secara eksklusif kepada orang ramai di www.myticketempire.com/manumy.

Tiket berharga bermula RM50 hingga RM1,500.

“Peminat dinasihatkan mendapatkan tiket lebih awal memandangkan permintaan yang tinggi dari dalam dan luar negara.

“Jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan kehebatan Manchester United secara langsung di Bukit Jalil,” kata ProEvents dalam kenyataan.

Perlawanan itu adalah kunjungan pertama Manchester United ke Malaysia selepas 16 tahun.

Skuad kendalian Ruben Amorim itu bakal menentang  skuad Asean All-Stars bimbingan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam Kim Sang Sik.

ProEvents berkata aksi itu disifatkan bukan sekadar perlawanan istimewa bola sepak tetapi menjadi simbol penyatuan penyokong setia pasukan berkenaan dari seluruh Asia Tenggara.

Menurutnya, peminat dari segenap negara serantau antaranya Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam dijangka hadir menyaksikan perlawanan itu.

“Ia sekali gus menjadikan acara terbabit sebagai satu lagi bukti Malaysia sebagai hab bola sepak utama di rantau ini,” katanya.

Dianjurkan dengan kerjasama rakan serantau serta pihak berkuasa tempatan, acara terbabit dijangka memberikan impak positif kepada industri pelancongan dan hospitaliti negara.

Ia bakal memacu ekonomi tempatan serta pada masa sama mempamerkan kemampuan Kuala Lumpur menganjurkan acara antarabangsa bertaraf dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.