Bapa 5 anak dipenjara 30 tahun edar dadah

Bapa 5 anak dipenjara 30 tahun edar dadah

Tertuduh didapati bersalah mengedar lebih 175g methamphetamine pada 2022.

kompleks mahkamah kuala terengganu
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu turut menjatuhkan 12 sebatan ke atas Nik Mohd Affendi Nik Mustafah.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu atas kesalahan mengedar lebih 175g methamphetamine tiga tahun lalu.

Sinar Harian melaporkan Hakim Hassan Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu ke atas Nik Mohd Affendi Nik Mustafah, 34, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Berdasarkan pertuduhan, dadah itu ditemui dalam laci papan pemuka Perodua Myvi di Taman Bestari Bukit Kuang, Kemaman, kira-kira 2.30 pagi 19 Mei 2022.

Bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan dan hanya tertuduh tampil sebagai saksi tunggal dalam pembelaannya.

Berdasarkan fakta kes, ketika serbuan di sebuah rumah, tertuduh melarikan diri sebelum ditahan selepas bergelut dengan anggota polis.

Pemeriksaan lanjut menemui kunci Perodua Myvi di poket seluar tertuduh yang membawa kepada penemuan lima peket plastik berisi kristal disyaki dadah dalam sebuah beg berzip hitam dalam laci papan pemuka kereta itu.

Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan mensabitkan tertuduh bersalah pada akhir kes pembelaan.

Hukuman penjara ke atas tertuduh berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 19 Mei 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Kamaruzzaman A Wahab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.