Anwar bidas dakwaan Kristian cuba ‘ambil alih’ P Pinang

Anwar bidas dakwaan Kristian cuba ‘ambil alih’ P Pinang

Perdana menteri juga tepis dakwaan kononnya pengaruh parti politik Cina ancaman kepada kerajaan.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ingatkan bahawa menyebar kebencian terhadap mana-mana kaum akan menghancurkan masyarakat Malaysia yang majmuk.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas dakwaan kononnya orang Kristian cuba ‘ambil alih’ Pulau Pinang.

Menurutnya, cerita itu tersebar bersama dakwaan bahawa pengaruh parti politik Cina merupakan ancaman kepada kerajaan.

“Ya ampun, saya orang Pulau Pinang. Kamu sebar dakwaan itu tetapi mengapa kamu tak timbulkan apa pula yang baik tentang mereka?

“Ada orang jahat dalam kalangan Cina, Melayu dan India. Jadi apa? Pilih dan ikut orang baik selaras hati nurani dan nilai kita,” katanya pada Dialog Tamadun Antarabangsa 2025 di Universiti Malaya.

Anwar tidak mengulas lanjut tentang asal dakwaan tersebut.

Pulau Pinang dipimpin Ketua Menteri Chow Kon Yeow dari DAP, yang mengambil alih jawatan itu daripada Lim Guan Eng.

DAP raih jumlah kerusi terbanyak di DUN Pulau Pinang sejak 2008, dan mengetuai kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan bersama Umno.

Anwar beri peringatan bahawa menyebar kebencian terhadap mana-mana kaum akan menghancurkan masyarakat Malaysia yang majmuk.

“Kita gagal bukan kerana berkawan dengan orang bukan Melayu. Kita gagal kerana menyokong pemimpin rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menekankan betapa penting wacana antara etnik dan dialog mengenai tamadun yang pelbagai.

“Dialog-dialog ini penting untuk kelangsungan kita. Kita mesti memahami dan menghargai satu sama lain dan sedar bahawa kita, lagipun, manusia semata-mata,” katanya, mengingatkan bahawa maruah insan merentasi kelas dan kaum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.