Ahli Parlimen DAP, aktivis dibebas dengan jaminan polis

Ahli Parlimen DAP, aktivis dibebas dengan jaminan polis

Chow Yu Hui dan Pengerusi Samka Wilson Chang dibebaskan pada 11.30 pagi.

Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui dan seorang aktivis ditahan semalam kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam semasa operasi di ladang durian di Pahang.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui dan seorang aktivis telah dibebaskan dengan jaminan polis, sehari selepas mereka ditangkap kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam semasa operasi di sebuah ladang durian di Pahang.

The Save Musang King Alliance (Samka) berkata Chow dan Pengerusi Samka Wilson Chang dibebaskan pada 11.30 pagi.

Kumpulan itu mempertahankan kedua-dua individu itu tidak melakukan sebarang kesalahan tetapi hanya ‘bersama mereka yang membina warisan durian Raub’.

“Penangkapan kami bukan mengenai undang-undang. Ia ingin menutup mulut petani Raub yang tidak mempunyai tanah, yang telah bersusah payah selama beberapa dekad untuk mencari rezeki dan mempertahankan maruah,” dakwa Chow.

Beliau turut menggesa agar penebangan mana-mana pokok durian di ladang dihentikan serta-merta.

Sementara itu, Chang berkata beliau dan Ahli Parlimen Raub bekerjasama sepenuhnya dengan polis dan mereka dilayan dengan baik semasa berada di lokap IPD Raub.

“Kita sentiasa bersedia untuk berbincang tetapi tidak akan tunduk. Kami tidak akan ‘dipijak’. Kerjasama mesti dibina atas keadilan dan saling menghormati, bukan ancaman dan gergaji rantai,” katanya.

Laporan media sebelum ini mengatakan bahawa petani telah menyekat laluan dan mempamerkan sepanduk untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka selepas anggota penguatkuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun.

Kerajaan Pahang menafikan melanggar perintah mahkamah dalam menebang sekitar 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, 8 April lalu.

Susulan penahanan Chow dan Chang, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata perintah reman mungkin tidak diminta jika siasatan dapat diselesaikan dalam tempoh sehari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.