Tok Pa hargai bimbingan Pak Lah di 3 kementerian

Tok Pa hargai bimbingan Pak Lah di 3 kementerian

Mustapa Mohamed berkata, Abdullah Ahmad Badawi banyak berjasa kepada negara, antaranya menaikkan gaji penjawat awam dengan kadar tertinggi.

Bidang pertanian jadi antara fokus utama dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dari Oktober 2003 hingga April 2009. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas menteri Mustapa Mohamed menghargai bimbingan Abdullah Ahmad Badawi sepanjang bertugas di tiga kementerian bawah pentadbiran perdana menteri kelima itu.

Mustapa berkata, Abdullah atau dikenali sebagai Pak Lah itu banyak berjasa kepada negara, antaranya menaikkan gaji penjawat awam dengan kadar tertinggi, memperkenalkan Islam Hadhari dan J-Qaf.

Mustapa Mohamed.

Mesra dengan panggilan Tok Pa, beliau menyifatkan Abdullah sebagai pemimpin berjiwa besar dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam memimpin.

Berkongsi pengalamannya bertugas bawah Jemaah Menteri diketuai Abdullah, Mustapa berkata, sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi (EPU), beliau membantu dalam menggubal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dengan menekankan nilai murni.

“Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan diumumkan oleh (Abdullah) dalam Parlimen. Saya diamanahkan untuk melaksanakan penubuhannya semasa menjadi menteri pengajian tinggi.

“Minat pada pertanian yang tinggi membolehkan saya menjalankan tugas sebagai menteri pertanian sebaik mungkin,” katanya di Facebook.

“Terima kasih atas bimbingan, nasihat serta kepimpinan (beliau). Semoga Allah menganugerahkan syurga kepada insan yang amat murni dan amat baik hati ini.”

Abdullah memikul amanah sebagai perdana menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009.

Beliau meninggal dunia pada usia 85 tahun, setelah kesihatannya merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.