
Beliau berkata, kelompok syarikat digelar ‘Magnificent Seven’ yang terbabit dalam libat urus dengan Putrajaya mengesahkan rancangan mereka diteruskan, walaupun tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump akan memberi kesan kepada keputusan syarikat-syarikat lain berkenaan pelaburan.
“Setakat ini, syarikat-syarikat besar yang telah kita temui menyatakan komitmen untuk meneruskan pelaburan yang telah mereka buat,” katanya.
“Sudah tentu terdapat beberapa pemain lebih kecil yang lebih berhati-hati. Mereka menunggu kejelasan yang lebih baik sebelum membuat sebarang keputusan.”
Kelompok ‘Magnificent Seven’ terdiri daripada Apple, Microsoft, Amazon, Tesla, pemilik Google iaitu Alphabet, pemilik Facebook iaitu Meta, dan Nvidia.
Tengku Zafrul berkata, Intel dan Oracle, yang mempunyai operasi penting di Malaysia, juga meneruskan rancangan pelaburan mereka.
“Kami menghubungi kepimpinan kanan Intel di AS dan Malaysia, dan mereka mengesahkan komitmen mereka,” katanya.
“Mereka menekankan betapa penting keseluruhan rantaian bekalan di Malaysia untuk daya maju perniagaan mereka.”
Beliau menambah, pemimpin Oracle juga bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini, dan mereka membangkitkan beberapa kebimbangan namun akhirnya menyerlahkan komitmen jangka panjang syarikat pada operasi di Malaysia.
Trump pada 2 Apr lepas mengumumkan ‘tarif timbal balik’ ke atas beberapa negara, termasuk Malaysia pada kadar 24%.
Tengku Zafrul berkata, pasukan Malaysia di Washington berhubung dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat dan agensi utama lain negara itu, dan menambah Putrajaya memerlukan ‘strategi tuntas’ untuk mengadakan libat urus dengan AS.
Beliau juga berkata, mesyuarat peringkat tinggi Asean-AS akan berlangsung di Pulau Pinang pada 24 April, dengan pegawai kanan perdagangan AS dijadualkan hadir.
Sambil menyatakan bahawa perdagangan dengan AS menyumbang 11.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia tahun lepas, beliau menegaskan Malaysia masih mempunyai kapasiti untuk berkembang ke pasaran lain.