
Umaghandan Krishnan, 40, berkata dua pam air baharu yang dibina di kawasan itu tidak berfungsi semasa hujan lebat baru-baru ini, menyebabkan banjir berlaku pada 11 April lepas.
“Pagi itu terus banjir. Kami pergi tengok (stesen pam). Pintu air memang terbuka, tapi dua pam tak jalan langsung, tak ada elektrik,” katanya pada sidang media.
“Kami dapat maklumat itu daripada salah seorang pekerja stesen pam sendiri. Pam-pam baharu ini baru siap tahun lepas, tapi sekarang dah tak boleh pakai. Yang jalan cuma pam lama.”
Umaghandan berkata, kira-kira 700 rumah terjejas dengan banjir dari paras lutut hingga pinggang.
Beliau turut mendakwa, tiada wakil kerajaan atau agensi tampil bertemu penduduk atau mengeluarkan kenyataan rasmi mahupun memberikan bantuan kewangan, walaupun kebanyakan penduduk Taman Sri Muda tergolong dalam kumpulan B40.
“Kami dengar mereka (kerajaan) nak buat sesi ‘town hall’ bulan depan. Masa tu mungkin air dah sampai paras leher. Sebab itu, kami bagi tempoh tujuh hari bermula hari ini.
“Kalau sampai Ahad ini (20 April) kami tak dengar sebarang berita – sama ada daripada kerajaan negeri, persekutuan, menteri besar, perdana menteri, kementerian atau sesiapa saja – kami akan adakan protes di Taman Sri Muda, sebab kami rasa dah tak ada jalan lain,” katanya.
Sebelum ini, Adun Kota Kemuning S Preakas berkata, hujan lebat menyebabkan banjir besar di Taman Sri Muda, Taman Desa Kemuning, Kampung Bukit Lanchong, Bukit Kemuning dan Kampung Lanchong Jaya.
Katanya, banjir yang terus berulang walaupun pelaburan tinggi dibuat kerajaan negeri dalam sistem tebatan banjir, dan beliau mendesak Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menangani perkara itu.
Preakas berkata, banjir yang merebak melepasi Taman Sri Muda membuktikan sistem tebatan sedia ada, termasuk pam dan infrastruktur perparitan, masih belum mencukupi untuk menampung hujan lebat.
Suzanna Kassim, yang menetap di situ selama 30 tahun berkata, beliau kini terhimpit dengan masalah kewangan akibat kerosakan rumahnya, dan hanya menerima RM2,000 daripada kerajaan ketika banjir sebelum ini.
“Sebuah NGO beri (bantuan) RM1,000. Tapi kerajaan masih nak datang nilai rumah saya, walaupun dinding dan siling semua dah rosak,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Normah Hussein, 67, turut meluahkan kekecewaan kerana tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan. Katanya, beliau menanggung kerugian lebih RM80,000 akibat banjir yang sering berlaku.
“Masa banjir besar pada 2001, rumah saya tenggelam empat hari. Saya sampai terpaksa minum air paip berlumpur dengan kucing-kucing saya.
“Kenapa kami yang perlu pindah? Kami sayang tempat ini. Saya dah lama hidup di rumah ini, saya takkan lari dari Taman Sri Muda.
“Apa pun jadi, saya tetap setia di Taman Sri Muda,” katanya apabila ditanya sama ada pernah berfikir untuk berpindah.