
Menurut kementerian, tindakan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu diambil susulan pengeluaran Notis Penutupan Sementara ke atas pusat jagaan berkenaan bawah Seksyen 15, Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).
Katanya, kesemua kanak-kanak disyaki menjadi mangsa penderaan telah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kajang dan telah dirujuk kepada pegawai psikologi atau kaunselor untuk penilaian awal tahap psikologi mereka.
“Buat sementara waktu, kanak-kanak tersebut telah ditempatkan di sebuah rumah kebajikan kanak-kanak yang lain,” kata kementerian dalam kenyataan.
“Waris kepada kanak-kanak yang diselamatkan diminta menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat di talian 03-8739 5070 atau hadir ke pejabat di Lot 2-58, Kompleks Hentian Kajang, Jalan Reko, Kajang, Selangor.”
KPWKM juga memaklumkan, suatu perintah interim bawah Akta Kanak-Kanak 2001 telah dimohon di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK), dan laporan sosial serta laporan pemeriksaan kesihatan kanak-kanak tersebut akan dibentangkan di mahkamah.
“Kementerian, dengan semangat Ihsan Kerajaan Madani sentiasa prihatin dan akan memastikan kebajikan kanak-kanak ini terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri warga emas yang juga pemilik serta penjaga sebuah rumah perlindungan kanak-kanak persendirian di Batu 9, Cheras ditahan kerana disyaki mendera penghuni premis itu.